Pemandu Kastam mengaku tidak bersalah terima rasuah RM8,850

Seorang pemandu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin, atas empat pertuduhan rasuah melibatkan nilai RM8,850 berhubung kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan jabatan, tahun lalu.
Seorang pemandu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin, atas empat pertuduhan rasuah melibatkan nilai RM8,850 berhubung kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan jabatan, tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pemandu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas empat pertuduhan rasuah melibatkan nilai RM8,850 berhubung kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan jabatan itu, tahun lalu.

Muhamad Azwan Shah Abdullah, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhamad Azwan Shah didakwa sebagai pemandu kenderaan yang bertugas di JKDM di sini, telah secara rasuah memperoleh untuk suapan iaitu wang tunai berjumlah keseluruhan RM8,850 daripada seorang lelaki berusia 36 tahun.

Ia sebagai dorongan bagi melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh iaitu membantu mendapatkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan jabatan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Selangor pada Februari dan Mac 2021.

Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama yang membawa hukuman jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Bagi empat pertuduhan pilihan, dia didakwa atas pertuduhan sama dan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa, Mohd Aliff Shaharuzaman.

Artikel Berkaitan:

Pendakwa mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM terdekat dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah untuk sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi merayu agar ikat jamin anak guamnya diletakkan pada kadar yang lebih rendah.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Rihaida membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Mac depan untuk pengurusan kes.