Spurs tiada mentaliti kemenangan

Jimenez meraikan jaringannya ketika membantu Wolves tewaskan Spurs 2-0 di Stadium Tottenham malam Ahad.
Jimenez meraikan jaringannya ketika membantu Wolves tewaskan Spurs 2-0 di Stadium Tottenham malam Ahad.
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte menganggap para pemainnya tidak memiliki mentaliti kemenangan menyebabkan mereka gagal mengutip mata penuh dalam beberapa perlawanan lalu.

Menurut Conte, beliau percaya pemainnya kini sedang bergelut untuk mendapatkan keyakinan dan rentak selepas kalah buat kali ketiga berturut-turut dalam perlawanan liga.

"Masalahnya, ketika ini adalah pemain tidak boleh membeli mentaliti kemenangan. Mereka hanya boleh mendapatkan mentaliti itu selepas menang dan memindahkannya dari satu perlawanan ke satu lagi perlawanan.

"Saya lihat ketika ini, ada beberapa pemain yang mempunyai mentaliti tersebut dan ada yang memerlukan lebih banyak masa untuk memahami perkara ini.

"Apabila pemain memahaminya, kekalahan itu pasti sangat menyakitkan buat mereka dan ia bukan perkara yang mudah," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan menentang Wolves.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tottenham, skuad lilywhites tewas 2-0 kepada Wolves hasil jaringan Raul Jimenez pada minit keenam.

Spurs kemudiannya sekali lagi dihukum pada minit ke-18, selepas penjaga gol, Hugo Lloris melakukan hantaran yang kurang kemas kepada Ben Davies yang memberi ruang kepada Wolves untuk menambah jaringan melalui Dendoncker.

Wolves kini melonjak di tempat ketujuh satu mata di atas Tottenham selain berjaya memenangi empat daripada perlawanan penting di tempat lawan dalam saingan liga utama buat pertama kali sejak 1980.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jurulatih Wolves, Bruno Lage memuji persembahan bertenaga pasukannya ketika menang bergaya ke atas Spurs.

Menurut Lage, kemenangan itu sedikit sebanyak memberi motivasi kepada pasukan dalam misi memperbaiki kedudukan dalam liga bagi mendapatkan slot automatik ke Piala Europa musim depan.

"Kami mengawal perlawanan menentang Tottenham. Pengurus mereka adalah antara yang terbaik kerana ke mana dia pergi, dia berjaya membawa kelab dengan baik," katanya.