[VIDEO] Undi18 jadi pencetus perubahan sistem politik, pendidikan negara

Buat pertama kali, negara bakal menyaksikan pengundi muda layak mengundi semasa PRN Johor nanti.
Buat pertama kali, negara bakal menyaksikan pengundi muda layak mengundi semasa PRN Johor nanti.
A
A
A

SHAH ALAM - Pendidikan, kerjaya dan perumahan merupakan faktor utama yang akan menentukan pola undian golongan muda khususnya Undi18.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, faktor tersebut perlu menjadi agenda setiap parti politik untuk menarik perhatian golongan muda.

“Mereka perlu bercakap tentang dasar-dasar yang menarik serta dekat di hati pengundi muda seperti isu pendidikan, pekerjaan serta perumahan.

“Isu penting kepada anak muda adalah soal pendidikan yang baik, berkos rendah atau bukan satu bebanan untuk mereka, dan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan untuk mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif berkaitan Undi18.

Thomas berkata, negara juga perlu menyediakan satu polisi yang boleh menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Kita mahu anak muda mendapat peluang pekerjaan dengan upah yang lumayan, itu paling penting,” ujarnya.

Tambah beliau, golongan itu juga memerlukan rumah mampu milik untuk mereka memulakan kehidupan berkeluarga.

Menurutnya, tawaran perumahan sedia ada lebih kepada mereka yang berpendapatan tinggi atau sederhana tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Contohnya di Johor Bahru dan kawasan sekitarnya, banyak kondominium tetapi berharga sampai RM1 juta atau lebih, tetapi banyak kosong.

“Namun rumah mampu milik memang tidak cukup. Ramai orang menunggu untuk mendapatkannya. Itu satu polisi yang salah. Jadi, kita perlu anak muda supaya memberi tekanan kepada sesiapa yang nak menang undi mereka, polisi hendaklah diubah.

“Kita tidak perlu kondominium mewah untuk pelabur dari luar negara tetapi kita perlu rumah mampu milik untuk orang kita,” jelasnya.

Thomas Fann
Thomas Fann

Dalam pada itu, Thomas berkata, polisi Undi18 memperlihatkan kematangan sistem politik negara dan merupakan satu langkah yang baik walaupun terlewat.

Tambah beliau, kebanyakan negara matang dan maju di dunia telah membuka ruang kepada anak muda 18 tahun untuk membuang undi.

“Ini perlu dan mesti dilakukan. Saya banyak kali berkata sekiranya seseorang berumur 18 tahun boleh dikenakan hukuman gantung kalau dia lakukan jenayah, kenapa dia tidak boleh jadi pemilih?“Jika 18 tahun boleh jadi askar dan mati untuk negara, mengapa tidak boleh buat untuk mengundi?” katanya.

Thomas berkata, pelaksanaan Undi18 itu juga akan memberi tekanan besar kepada parti-parti politik untuk meletakkan calon yang lebih muda.

“Ini akan beri peluang kepada sayap-sayap Pemuda dan Puteri untuk dicalonkan oleh parti mereka. Ini kerana kebanyakan orang muda ini rasa calon muda lebih memahami kehendak mereka.

“Purata umur wakil rakyat sekarang sudah agak lanjut. Ada parti yang purata umur wakil rakyat mencecah 60, 50 atau 40 tahun, tetapi dengan Undi18 ini, saya percaya ada tekanan untuk parti letak calon yang lebih muda,” ujar beliau.

Tambah Thomas, untuk meraih undi anak muda bukan perkara mudah dan memerlukan publisiti serta pendidikan awam.

Menurutnya, kerajaan harus merangka satu pelan jangka panjang untuk menjadikan Undi18 sebagai satu insentif pendidikan sivik kepada murid-murid.

“Kita perlu ada program dalam pendidikan di mana setiap murid akan faham peranan mereka sebagai seorang rakyat, hak mereka dalam Perlembagaan dan tanggungjawab mereka untuk memainkan peranan sebagai pengundi atau ahli politik.

“Jadi pada saya ini adalah satu pemangkin di mana kita mesti bawa perubahan dalam sistem pendidikan negara.

“Kalau tidak, macam dahulu semua tidak ada peluang untuk faham tentang Perlembagaan dan hak kita sampailah masuk universiti. Ketika itu, kita sudah berumur 19 atau 20 tahun.

“Tapi dengan ini, kita mahu pengundi yang lebih matang dan bertanggungjawab maka kita mula pendidikan sivik dari muda,” jelasnya.

Kolaborasi Sinar Harian, Sin Chew Daily, The Star dan Astro Awani.
Kolaborasi Sinar Harian, Sin Chew Daily, The Star dan Astro Awani.