Jangan bahayakan diri untuk bergambar di lebuh raya

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

MERAK Jalanan tak terkejut apabila polis Negeri Sembilan minggu lalu mendedahkan sebanyak 48 saman dikeluarkan kepada pengguna Lebuh Raya Temiang-Pantai dekat Seremban kerana meletakkan kenderaan di bahu jalan atau lorong kecemasan untuk tujuan bergambar dan berkumpul.

Jalan pintas dari arah Seremban menghala ke Kuala Klawang dan Jelebu itu sememangnya menjadi tarikan pengunjung untuk bergambar kerana keindahan pemandangan seakan-akan ‘New Zealand’ di Malaysia.

Panjang jalan ini lebih kurang tujuh kilometer dan melalui kawasan hutan dan gunung-ganang. Persekitaran tempat ini yang dikelilingi pohon menghijau menjadikan panoramanya cantik sekali.

Kalau nak rasa memandu seperti di luar negara, lalulah pada waktu pagi ketika jalan berkabus. Rasa sejuknya seakan-akan di negara empat musim.

Bagaimanapun, perbuatan meletak kenderaan di bahu jalan dan lorong kecemasan tentulah berbahaya kepada pengguna jalan raya lain. Lebih-lebih lagi jika jika lorong kecemasan di kedua-dua arah digunakan seperti yang dilakukan sekumpulan individu daripada sebuah kelab kereta untuk bergambar baru-baru ini.

Seingat Merak Jalanan, sudah banyak kemalangan berlaku akibat perbuatan seperti itu di lebuh raya. Sebenarnya keghairahan orang ramai untuk bergambar ini bukan sahaja di jalan ‘New Zealand Malaysia’ ini, malah setiap lebuh raya atau jambatan baru dibuka di seluruh negara turut menjadi tumpuan.Sebab itu Merak Jalanan rasa ada baiknya langkah kerajaan Negeri Sembilan mahu memohon kepada kerajaan Pusat supaya satu kawasan tempat letak kereta dibina di jalan berkenaan.

Orang ramai boleh menikmati keindahan pemandangan di situ dengan lebih selamat dan tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Cuma Merak Jalanan harap tempat rehat itu tidak pula dipenuhi penjaja yang tidak mengikut peraturan sehingga mencacatkan pemandangan dan menimbulkan bahaya pula.

Artikel Berkaitan: