Sultan Selangor imbau kenangan silam dengar Radio Klasik

Foto FB Selangor Royal Office
Foto FB Selangor Royal Office
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji langkah Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengekalkan saluran Radio Klasik khusus kepada penggemar lagu-lagu Melayu klasik dan tradisional.

Selangor Royal Office dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, baginda merupakan pendengar setia medium radio sejak dahulu lagi.

Menurut hantaran itu, baginda sendiri sentiasa memilih untuk mendengar stesen Radio Klasik ketika berada di dalam kenderaan dan juga sering terhibur dengan seleksi lagu-lagu lama pilihan Radio Klasik pada malam hari sebelum beradu.

"Baginda mengakui bahawa kebanyakan lagu-lagu yang dimainkan oleh Radio Klasik mengimbau kenangan silam dan mengingatkan kepada sejarah-sejarah penting yang pernah dilalui baginda.

"Bukan sahaja lagu-lagu klasik, baginda turut tertarik dengan petikan ceramah-ceramah agama pada waktu Subuh di Radio Klasik yang padat dan bermanfaat.

"Pemilihan berita-berita mustahak yang disampaikan juga disunting dengan baik, ringkas dan jelas, " menurut hantaran itu pada Ahad.

Baginda dalam masa sama menzahirkan ucapan Selamat Hari Radio Sedunia 2022 yang diraikan pada hari ini.

Sultan Sharafuddin turut berkenan memberi kredit (pujian dan penghargaan) kepada pengurusan Radio Klasik dan berharap stesen radio itu terus berperanan sebagai platform hiburan dan menyampaikan informasi yang tepat kepada seluruh pendengar dan penggemar yang masih setia.

Artikel Berkaitan: