14 pemandu mabuk ditahan

JSPT Kuala Lumpur mengadakan operasi di sekitar ibu Kota sejak Khamis hingga Sabtu.
JSPT Kuala Lumpur mengadakan operasi di sekitar ibu Kota sejak Khamis hingga Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan 14 individu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi dijalankan di sekitar ibu kota sejak Khamis hingga Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua lelaki berusia 25 hingga 54 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesemua tangkapan itu dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut seksyen yang sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sarifudin berkata, seramai 11 pegawai dan 59 anggota JSPT Kuala Lumpur menjalankan operasi di Jalan Genting Klang, Jalan Loke Yew, Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Razak.

"Kita turut menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun kerana menggunakan nombor pendaftaran motosikal palsu. Lelaki itu akan dituduh dibawah Seksyen 108 (3) (e) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sebanyak 361 jumlah saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 22 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos ).

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sarifudin berkata, hasil berkolaborasi dengan Jabatan Alam Sekitar Kuala Lumpur sebanyak 10 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal.

"Penunggang motosikal itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Sarifudin berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran," katanya.