Kementerian lulus peruntukan khas 'Food Bank Malaysia'

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan khas kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi melaksanakan program Food Bank Malaysia yang menyasarkan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) termasuk di universiti awam.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata peruntukan berjumlah lebih RM3 juta itu adalah bagi membeli 14 unit lori dilengkapi pendingin bagi tujuan logistik.

"Ini merupakan inisiatif awam-swasta untuk memperluas capaian bank makanan yang ditubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta,” katanya kepada pemberita dalam sidang media bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini, hari ini.

Terdahulu, Guan Eng mengadakan sidang media berasingan mengenai kejayaan menyempurnakan penerbitan Bon Samurai oleh kerajaan Malaysia di sini.

Guan Eng berkata peruntukan tersebut juga bertujuan memastikan bantuan dapat disalurkan dengan sebaiknya kepada pihak yang memerlukan.

Sementara itu, Saifuddin berkata program Food Bank Malaysia telah dimulakan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya masing-masing pada 26 Feb dan 7 Mac lepas.

Beliau berkata ia akan diperluas ke Universiti Putra Malaysia pada 21 Mac, Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang (23 Mac), Universiti Malaysia Pahang (1 April), Universiti Sains Malaysia (8 April), Universiti Utara Malaysia (15 April) dan Universiti Malaysia Sabah (22 April).

Mengikut program berkenaan, KPDNHEP akan membekalkan bahan mentah kepada persatuan pelajar yang bertanggungjawab menyediakan petugas untuk kerja-kerja memasak serta mengagihkan makanan, katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata pihak universiti akan bertanggungjawab menyediakan kemudahan bagi tujuan penyediaan makanan termasuk keperluan memasak serta senarai pelajar dalam golongan B40. - Bernama