'Oppa' Harimau Malaya sudah tiba

Kim Pan-gon selamat tiba di Malaysia pada Jumaat dan kini menjalani kuarantin sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan.
Kim Pan-gon selamat tiba di Malaysia pada Jumaat dan kini menjalani kuarantin sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan.
A
A
A

PENGENDALI baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan pasukan kejurulatihannya selamat tiba di bumi Malaysia pada Jumaat.

Perkara tersebut disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar yang menjelaskan hanya penolong jurulatih dari Sepanyol, Pau Marti Vicente masih belum tiba di tanah air kerana perlu menjalani kuarantin di Barcelona.

Menurut Saifuddin, jurulatih kelahiran Korea itu akan menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum dibenarkan untuk memulakan tugasnya bersama skuad kebangsaan.

“Pan-gon sudah selamat sampai di Malaysia bersama barisan kejurulatihannya semalam. Cuma pembantunya Paul sahaja belum sampai kerana perlu kuarantin di Sepanyol sebelum tiba di Malaysia.

“Kesemua mereka kini sedang menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Insya- ALLAH selepas kesemua mereka habis menjalani kuarantin, kita akan panggil media untuk umumkan beberapa perkara termasuk membabitkan pembantu jurulatih tempatan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Sebelum itu, jurulatih berusia 52 tahun itu diumumkan sebagai ketua jurulatih Malaysia yang baharu bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe sebelum ini.

Difahamkan, selain Pau Marti, Pan-gon turut membawa tiga lagi barisan kejurulatihannya iaitu Cho Jun Ho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis).

Artikel Berkaitan:

Turut akan menyertai barisan kejurulatihan Pan-gon ialah seorang jurulatih tempatan yang akan membantunya memahami budaya dan suasana bola sepak tanah air.