Dadah bernilai RM25,700 dirampas, 12 individu ditahan

Mohd Azahari (kanan) menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam empat serbuan di daerah Rompin bermula Jumaat hingga Khamis lalu.
Mohd Azahari (kanan) menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam empat serbuan di daerah Rompin bermula Jumaat hingga Khamis lalu.
A
A
A

KUANTAN - Polis berjaya merampas dadah jenis heroin dan syabu seberat 487.38 gram bernilai RM25,700 dalam empat serbuan yang dilakukan di sekitar daerah Rompin bermula Jumaat hingga Khamis lalu.

Serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rompin turut menahan 12 individu termasuk seorang wanita berusia 28 hingga 45 tahun untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Janglau tiga, Rompin pada jam 4.20 petang, 4 Februari lalu.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis menahan tiga lelaki dan merampas satu peket dadah jenis heroin seberat 36.35 gram.

"Serbuan kedua pada 7 Februari lalu di dalam ladang kelapa sawit Felda Selancar Tiga, polis menemukan dadah jenis heroin seberat 60.56 gram dan syabu seberat 15.32 gram selepas menahan tiga lelaki.

"Serbuan berasingan pada hari yang sama di Perwira Jaya Muadzah Shah pula, polis menemukan 53.52 gram dadah disyaki jenis heroin dan syabu seberat 16.64 gram selepas menahan tiga lagi lelaki," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azahari (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai kenderaan yang disita selepas penahanan 12 individu yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah di daerah Rompin.
Mohd Azahari (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai kenderaan yang disita selepas penahanan 12 individu yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah di daerah Rompin.

Mohd Azahari berkata, dalam serbuan keempat di sebuah hotel bajet di bandar Rompin pada Khamis lalu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 205 gram.

Menurut beliau, polis juga menyita lapan motosikal, sebuah kereta dan sebuah pacuan empat roda dipercayai milik suspek yang berjumlah RM147,300.

"Kesemua suspek yang tahan positif dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah serta pelbagai kesalahan lain.

"Kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 100 hingga 150 orang penagih dadah pada satu-satu masa.