PDRM pandang serius kes kematian OKT

Azri
Azri
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kes kematian dalam kalangan orang kena tahan (OKT) dan memberi jaminan setiap kes disiasat secara komprehensif.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, PDRM akan memajukan kertas siasatan berkaitan kepada Timbalan Pendakwa Raya demi memastikan segala aspek penyiasatan dilengkapkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) siasatan.

Menurutnya, PDRM sedia maklum berkenaan Arahan Amalan Bilangan (2) 2019, Pengendalian Laporan Mati Mengejut dan Siasatan Kematian oleh Mahkamah Sesyen Koroner yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Dalam konteks ini, amalan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya adalah bagi mendapatkan nasihat lanjut dan pandangan berhubung prosedur siasatan.

"Amalan ini adalah bagi memastikan semua peruntukkan undang-undang telah dipatuhi dan siasatan adalah lengkap," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kertas siasatan yang telah lengkap akan diserahkan kepada Mahkamah Sesyen Koroner untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, badan bukan kerajaan (NGO) Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menghantar sebuah memorandum kepada PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur menggesa sebuah badan bebas diwujudkan untuk menyiasat kes kematian OKT.

Memorandum tersebut menggariskan sebanyak empat usul yang turut mendapat sokongan daripada 50 buah NGO seluruh negara berikutan trend kenaikan kes kematian dalam tahanan yang naik mendadak sejak Januari.

Artikel Berkaitan: