Sila log masuk terlebih dahulu.

Najib adalah pengkhianat UMNO sebenar: Muhyiddin

Muhyiddin, Najib
Muhyiddin, Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pengkhianat UMNO yang sebenar.

Menurutnya, Najib sendiri yang membiarkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi terlalu besar dan buruk sehingga majoriti rakyat membenci UMNO.

“Ada pemimpin UMNO menghasut orang Melayu supaya percaya saya pengkhianat. Kononnya sayalah yang menyebabkan kerugian kepada orang Melayu apabila menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP menjatuhkan UMNO.

“Mereka cuba menutup hakikat sebenar bahawa UMNO dikhianati oleh bekas Presiden UMNO sendiri, iaitu Najib,” kata Muhyiddin dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Najib juga turut memecatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2015 hanya kerana menyarankan agar isu 1MDB disiasat secara telus.

“Saya sarankan demikian supaya ia tidak menimbulkan sebarang tanggapan buruk kepada kerajaan dan parti pada ketika itu.

“Malangnya saranan saya dijawab dengan pemecatan daripada kerajaan dan UMNO. Ingat, saya dipecat bukan kerana skandal rasuah mahupun salah laku moral.

“Saya dipecat kerana meminta diadakan siasatan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dalam kehilangan RM42 bilion wang 1MDB dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Pagoh itu mengakui rela digelar pengkhianat kerana mendedahkan skandal 1MDB dan menubuhkan Bersatu untuk menentang kumpulan kleptokrat dalam UMNO

“Kini terbukti perjuangan saya adalah benar. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Najib atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang ada hubungkait dengan 1MDB.

“Jelas skandal 1MDB bukan satu fitnah. Bukan satu rekaan. Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya telah mengutip semula lebih RM16 bilion wang dan aset berkaitan syarikat 1MDB yang telah diseleweng.

“Kes 1MDB masih dibicarakan di negara kita. Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes SRC International juga sedang dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan,” jelasnya.

Kata Muhyiddin, beliau juga tidak meminta dan tidak pernah berkempen untuk jadi Perdana Menteri, sebaliknya hanya mengikut apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila saya mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen, saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri. Maka sahlah pelantikan saya itu.

“Selepas itu barulah saya sedar bahawa sokongan mereka itu sebenarnya ibarat pepatah ada udang di sebalik batu. Selang beberapa hari selepas saya dilantik menjadi Perdana Menteri, kluster Mahkamah ini berjumpa saya meminta saya campur tangan dalam kes mereka supaya mereka dibebaskan.

“Walaupun saya tahu kedudukan saya sebagai Perdana Menteri bergantung kepada sokongan mereka, saya katakan tidak kepada mereka kerana tidak mahu mengkhianati sumpah dan amanah jawatan saya sebagai Perdana Menteri.

“Saya tidak sanggup menggadai prinsip perjuangan saya dan asas perjuangan parti saya semata-mata kerana mahu kekal berkuasa. Saya juga tidak melantik sesiapa pun yang sedang didakwa di mahkamah atau sedang dalam siasatan pihak berkuasa untuk menjadi anggota Kabinet saya walaupun mereka berjawatan tinggi dalam parti UMNO.

“Saya buat perkara yang betul, jadi buat apa saya berasa malu?,” ujarnya.

Mengulas mengenai PRN Johor, beliau berkata, mereka memilih Johor kerana ia dikatakan negeri kubu kuat UMNO dan sekiranya menang, mereka akan mendesak untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum pula dapat diadakan.

“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri tetapi yang menguasai UMNO adalah Presiden UMNO. Apabila Parlimen dibubarkan, yang berkuasa menentukan calon yang akan bertanding dan mengetuai parti dalam pilihan raya adalah Presiden, bukan Perdana Menteri.

“Jika parti mereka menang dalam pilihan raya, lazimnya yang akan diangkat menjadi Perdana Menteri adalah Presiden parti.

“Jika ini berlaku, maka lengkaplah perancangan kluster Mahkamah. Mereka akan kembali berkuasa dan selesailah masalah mereka, na’uzubillah.

“Jadi siapa sebenarnya pengkhianat? Saya atau mereka?,” katanya.

Jelasnya, beliau percaya pengundi di negeri Johor adalah bijaksana, beradab, berhemah dan tinggi nilai moral dan agamanya serta tidak rela membiarkan PRN Johor digunakan sebagai alat untuk kluster Mahkamah dan kleptokrat kembali berkuasa.

“Hanya satu cara untuk mengalahkan kluster Mahkamah iaitu dengan memastikan Barisan Nasional kalah dalam PRN Johor,” ujar beliau.