Malaysia sedia pertimbang terbit satu lagi Bon Samurai

Guan Eng (kiri) dan Dr Makio Miyagawa semasa sesi sidang media sempena Majlis Meraikan Kejayaan Penerbitan Bon Samurai oleh Kerajaan Malaysia di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto Bernama
Guan Eng (kiri) dan Dr Makio Miyagawa semasa sesi sidang media sempena Majlis Meraikan Kejayaan Penerbitan Bon Samurai oleh Kerajaan Malaysia di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia bersedia untuk mempertimbang kemungkinan menerbitkan satu lagi Bon Samurai jika menerima kadar 0.63 peratus setahun sepertimana bon bernilai 200 bilion yen (kira-kira RM7.3 bilion) yang berjaya diterbitkan pada minggu lepas, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Jika pihak Japan Bank for International Cooperation (JBIC) bersedia menawarkan kadar faedah rendah seperti itu, kita akan bersedia untuk mempertimbangkan perkara ini secara serius," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan kejayaan penerbitan bon Samurai di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Guan Eng berkata minat kukuh kalangan pelabur Jepun terhadap Bon Samurai itu juga membolehkan bon itu ditawarkan pada harga kompetitif pada kos penuh 0.63 peratus setahun yang lebih rendah daripada jangkaan awal sebanyak 0.65 peratus.

“Ini mencerminkan keyakinan pelabur Jepun terhadap ekonomi Malaysia serta usaha pembaharuan fiskal yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Malah, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan amat komited untuk meneruskan kemampanan fiskal bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi Malaysia selain mencapai pertumbuhan yang mantap.

Menurutnya, hasil daripada terbitan Bon Samurai itu juga akan membantu kerajaan dalam usaha menunaikan tanggungjawabnya.

“Hasil itu akan digunakan bagi membiayai pembangunan infrastruktur dan bukannya bagi tujuan pembayaran hutang. Ini kerana hasil itu akan memberi ruang kepada kerajaan menggunakan saluran pendapatan yang ada untuk membayar hutang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa berkongsi kesediaan negaranya menawarkan bantuan sekiranya Kuala Lumpur berhasrat menerbitkan satu lagi Bon Samurai pada masa depan.

“Jepun bersedia membantu dengan terma dan syarat sama," katanya.

Miyagawa juga berharap bantuan menerusi penerbitan bon tersebut akan membantu Malaysia mengurangkan obligasi hutang serta menikmati pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan Malaysia kini bergerak ke arah hala tuju yang tepat dalam usaha mengurangkan hutang dan melaksanakan usaha sewajarnya. Atas matlamat itu, kita amat gembira kerana dapat membantu Malaysia," katanya.

Bon Samurai diterbitkan dalam denominasi yen di Tokyo dan tertakluk kepada peraturan di negara tersebut.

Ia berjaya diterbitkan oleh kerajaan Malaysia pada minggu lepas dengan menarik lebihan langganan sebanyak 1.6 kali ganda iaitu 324.7 bilion yen berbanding 200 bilion yen yang ditawarkan.

Bon itu dijamin oleh JBIC pada tempoh matang 10 tahun dengan kos penuh kepada kerajaan sebanyak 0.63 peratus setahun.

Hasil daripadanya akan digunakan untuk membiayai pembangunan infrastruktur, termasuk pembinaan sekolah, hospital, jalan serta kemudahan utiliti. - Bernama