MFL tunggu tindakan FAM

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tampil memberi penjelasan berhubung insiden pergaduhan membabitkan pemain Terengganu FC II (TFC II) dan Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, sebarang tindakan ke atas mana-mana pemain yang terlibat akan diputuskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Perlawanan itu mendapat kelulusan FAM dan bukannya di bawah MFL yang menganjurkan Liga Malaysia (Liga-M). Jadi sebarang tindakan berhubung perkara itu hanya boleh ditentukan FAM.

“Ini kerana bidang kuasa MFL hanyalah melibatkan pertandingan-pertandingan yang kami anjurkan seperti Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Piala FA,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada masa sama, Stuart memberitahu, MFL selaku badan pentadbir Liga-M hanya akan ‘menuruti’ keputusan FAM sekiranya terdapat hukuman dikenakan terhadap pemain terlibat.

“Sekiranya FAM mengenakan hukuman penggantungan kepada mana-mana pemain, kami akan melanjutkan hukuman itu hanya pada pertandingan anjuran MFL,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, laporan berhubung perkara berkenaan telah diterima dan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut.

“Pertandingan ini telah mendapat kelulusan daripada FAM. Apa yang terjadi semalam (Rabu), bermakna kami akan ambil tindakan dengan memanggil pemain menghadap Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Artikel Berkaitan:

“Saya tak boleh beritahu apa bentuk tindakan atau hukuman yang bakal diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FAM, cuma keputusan itu akan diketahui dalam masa terdekat.

“Kita pun baru terima laporan insiden tersebut dan selepas Jawatankuasa Tatatertib buat keputusan nanti, kita akan ajukan pula kepada pihak MFL,” ujarnya.