Malaysian Tigress layak ke Piala Dunia

Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan bakal beraksi pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2022 di Afrika Selatan.
Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan bakal beraksi pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2022 di Afrika Selatan.
A
A
A

SKUAD Projek Khas Wanita Kebangsaan menempa sejarah baharu apabila bakal beraksi pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2022 1 di Potchefstroom, Afrika Selatan dari 1 hingga 12 April depan.

Dalam satu kenyataan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memaklumkan, skuad wanita negara mendapat tawaran tersebut daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) ekoran terdapat satu slot kosong bagi benua Asia selepas Jepun menarik diri.

Malaysia dipilih untuk mengisi slot tersebut berdasarkan kiraan merit yang menyaksikan skuad Malaysian Tigress kini berada di kedudukan kelima Asia.

“Pengurusan tertinggi KHM nyata gembira dengan perkhabaran dan undangan yang kami terima dan kami melihat peluang beraksi di Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2022 sebagai satu penghormatan.

“Selepas berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN), kami sebulat suara bersetuju untuk menerima peluang yang ditawarkan bagi mengambil bahagian beraksi pada FIH Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2022.

“Ini juga merupakan satu sejarah bagi hoki wanita Malaysia yang harus dibanggakan. KHM cukup berbesar hati untuk menghantar Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan beraksi pada kejohanan tertinggi dunia itu.

"Ia selaras dengan misi KHM iaitu untuk membawa hoki wanita di kedudukan yang tertinggi dan terbaik di peringat Asia mahupun dunia dalam lima tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Segala perancangan dan persediaan termasuk pengumuman senarai penuh pemain yang akan menyertai kejohanan ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Sejak Piala Dunia Remaja Wanita diperkenalkan pada 1989 di Ottawa, Kanada, ini merupakan kali pertama Malaysia bakal membuat penampilan di pentas kejohanan berprestij itu.

Dalam edisi kesembilan kali ini, Malaysia yang menghuni ranking ke-20 dunia akan menyertai Belanda selaku pasukan No 1 dunia diikuti England (kedua), Argentina (ketiga), Jerman (kelima) dan India (kesembilan).

Turut mengambil bahagian Korea Selatan (ke-11 dunia), Ireland (ke-12), Kanada (ke-13), Amerika Syarikat (ke-15), Afrika Selatan (ke-16), Rusia (ke-22), Wales (ke-23), Uruguay (ke-26), Ukraine (ke-28), dan Zimbabwe (ke-54).