Penang FC tarik diri, TFC II rangkul juara

Tangkap layar daripada rakaman video ketika insiden kekecohan pada perlawanan akhir Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu malam Rabu.
Tangkap layar daripada rakaman video ketika insiden kekecohan pada perlawanan akhir Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu malam Rabu.
A
A
A

KEKECOHAN dalam perlawanan akhir Piala Menteri Besar Terengganu yang menyebabkan pasukan Penang FC meninggalkan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah selepas separuh masa pertama malam Rabu memberi kemenangan kepada pasukan Terengganu FC II (TFC II).

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh berkata, kekecohan itu berlaku selepas pemain Penang FC gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit 45 sebelum berlaku pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan.

"Merujuk kepada maklumat pegawai bertugas serta video rakaman perlawanan, pergaduhan semalam bermula pada minit ke 45 + 3 setelah pemain Penang FC tidak berjaya menyempurnakan sepakan penalti," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Katanya, keadaan semakin tidak terkawal apabila berlaku pergelutan hampir kesemua pemain sehingga berlaku pendarahan hidung pada salah seorang pemain Penang FC.

Ab Rasid menjelaskan, pihak pengurusan Terengganu FC akan memanggil pemain-pemain terlibat dalam insiden itu serta pegawai pasukan Terengganu FC II untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

"Terengganu FC juga berharap insiden seperti ini tidak berulang dan dijadikan iktibar bagi penganjuran kejuaraan pada masa akan datang," katanya.

Perlawanan akhir bagi Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2022 pada Rabu menyaksikan TFC II melakar kejutan selepas mengetepikan tiga pencabar Liga Super iaitu Sri Pahang FC, Penang FC dan pasukan Terengganu FC (TFC).

Ia sekali gus melayakkan pasukan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala TFC menggalas naib juara dengan memenangi hadiah wang tunai RM7,500.

Artikel Berkaitan:

Kejohanan empat penjuru itu berlangsung selama lima hari bermula 5 Februari lalu.