Pembukaan sempadan negara perlu bantu pulih ekonomi: PPPKAM

Gambar kecil: Dr Mohamed Rusli
Gambar kecil: Dr Mohamed Rusli
A
A
A

SHAH ALAM - Pembukaan sempadan negara adalah perlu bagi membantu sektor utama khususnya ekonomi untuk bangkit dan pulih serta mengelakkan ia terus terkesan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Profesor Dr Mohamed Rusli Abdullah berkata, ia berdasarkan kemampuan sistem kesihatan negara dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Tambahnya, program vaksinasi dan pengambilan suntikan dos penggalak di Malaysia juga sedang berada di tahap yang memberangsangkan.

"Seramai 78.8 peratus penduduk Malaysia berumur 12 tahun dan ke atas telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 dan 52.8 peratus berumur 18 tahun dan ke atas telah menerima dos penggalak.

“Berdasarkan data terkini, dos penggalak memberi perlindungan dan mereka yang menerima vaksin lengkap masih lagi pada asasnya mendapat perlindungan yang lebih baik terhadap gejala dan komplikasi teruk Covid-19.

“Data harian juga menunjukkan individu yang belum divaksin adalah sembilan kali lebih berkemungkinan untuk dijangkiti dan 62 kali lebih berkemungkinan mengakibatkan kematian akibat Covid-19 berbanding individu yang telah lengkap vaksin atau telah mengambil dos penggalak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ia turut disokong dengan data yang menunjukkan kebanyakan kes juga merupakan kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan, dalam kategori klinikal 1 dan 2 daripada jumlah kes.

Artikel Berkaitan:

“Ketersediaan katil ICU juga pada tahap yang memuaskan dengan kadar penggunaan katil adalah 14 peratus dan tidak membebankan buat masa ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Mohamed Rusli berkata, PPPKAM juga berharap beberapa langkah penambahbaikan dalam memperkasakan penguatkuasaan pemeriksaan kesihatan di pintu-pintu masuk sempadan negara diteliti dengan lebih lanjut.

Menurutnya, kesiapsiagaan dan bilangan pegawai bertugas haruslah mencukupi bagi memastikan proses pemeriksaan kesihatan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas serta teratur.

“Selain itu, sistem pengurusan sijil vaksinasi melalui MySejahtera perlu diperkasakan agar lebih pantas dan responsif bagi menampung pertambahan pelancong yang ingin mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut berkaitan sijil vaksinasi.

“Pelancong mempunyai akses kepada informasi prosedur operasi standard (SOP) terkini dan lengkap termasuk jenis vaksinasi yang diterima pakai bagi memasuki Malaysia serta arahan semasa kerajaan Malaysia yang sedang berkuat kuasa pada satu-satu masa.

“Petugas barisan hadapan di pintu-pintu masuk hendaklah terlatih, mempunyai pengetahuan terkini berkaitan polisi dan SOP serta konsisten dalam menangani peningkatan jumlah pengembara apabila sempadan dibuka,” jelasnya.