Syarikat pemaju mahu selesai kes saman Melaka Gateway di luar mahkamah

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Pertikaian undang-undang membabitkan syarikat pemaju KAJ Development Sdn Bhd dan kerajaan negeri Melaka berhubung penamatan projek penambakan laut Melaka Gateway berkemungkinan diselesaikan di luar mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili kerajaan negeri Melaka ketika dihubungi pemberita berkata, perkara itu dimaklumkan pada prosiding di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf pada Rabu.

Turut bersidang Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Mary Lim Thiam Suan manakala Rabu ditetapkan bagi mendengar permohonan syarikat itu untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Ahmad Hanir berkata, peguam KAJ, Datuk Loh Siew Cheang telah memohon agar prosiding pada Rabu ditangguh dan memaklumkan panel itu bahawa anak guamnya ingin menyelesaikan kes terbabit di luar mahkamah.

Katanya, beliau tidak membantah permohonan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Mei untuk mendengar permohonan itu.

KAJ Development mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 9 April 2021 yang menolak permohonannya untuk memperoleh kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Pada 17 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Melaka menolak permohonan KAJ Development untuk mendapatkan kebenaran itu selepas mendapati keputusan kerajaan negeri tidak membabitkan elemen undang-undang awam.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Disember 2020, KAJ Development memfailkan permohonan itu selepas perjanjian projek penambakan laut dengan kerajaan negeri Melaka ditamatkan.

Syarikat itu memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri Melaka pada 4 Oktober 2017 untuk projek penambakan tersebut.

KAJ Development memohon perintah mahkamah mengetepikan arahan kerajaan negeri yang mengeluarkan notis penamatan bertarikh 11 November 2020.

Syarikat itu juga memohon perisytiharan bahawa notis penamatan itu adalah terbatal dan tidak sah kerana melanggar Seksyen 7 dan 9(1) Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Covid-19 2020.

Melaka Gateway adalah projek pembangunan bercampur bernilai RM43 bilion yang terdiri daripada tiga pulau baharu. - Bernama