Keputusan FAM tak berubah

Hamidin (kanan) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Berhad, Izham Ismail mengenai livery rasmi pesawat Airbus A330-300 Harimau Malaya di KLIA pada Selasa. - Foto Bernama
Hamidin (kanan) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Berhad, Izham Ismail mengenai livery rasmi pesawat Airbus A330-300 Harimau Malaya di KLIA pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) kekal dengan pendirian untuk membida sebagai tuan rumah Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung Jun depan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, walaupun kes jangkitan Covid-19 di negara meningkat secara mendadak, pihaknya percaya gelombang penularan varian Omicron terkawal dan dapat diturunkan seperti dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, FAM juga tidak membuat sebarang perubahan terhadap prosedur operasti standard (SOP) dalam permohonan mereka kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjadi tuan rumah aksi kelayakan tersebut sebelum ini.

"Betul (kes) naik tapi kali ini berbeza sebab ramai yang sudah vaksin. Jadi kita cuma ikut SOP KKM serta MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan kami tetap meneruskan pembidaan lagipun sekretariat kami pun sudah hantar permohonan itu.

Kita harap selepas 24 Februari iaitu selepas proses undian berlangsung kita akan dapat jawapannya. AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) yang akan buat keputusan sama ada kita berjaya atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad di Sepang pada Selasa.

Pada masa sama, Hamidin berkata, beliau dimaklumkan hampir kesemua negara terlibat pada kempen kelayakan itu turut membida untuk menjadi tuan rumah.

Justeru, beliau berharap skuad kebangsaan di bawah bimbingan Ketua Jurulatih baharu Kim Pan Gon bersedia jika terpaksa mengharungi kempen kelayakan di luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini kita masih menepati kriteria tetapi kita terpaksa bersaing dengan negara lain yang ada antara mereka langsung tidak perlu kuarantin dan ada yang terus masuk ke dalam gelembung sukan,” katanya.

Bidaan sebagai tuan rumah itu menjadi antara matlamat utama FAM bagi memastikan pasukan negara mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dalam misi layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Skuad Harimau Malaya kini dalam misi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas kali terakhir beraksi di kejohanan itu ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, selain sudah lebih 40 tahun gagal meraih slot automatik sejak edisi 1980 di Kuwait.

Dalam perkembangan berasingan, Hamidin berkata, FAM dijangka memutuskan mengenai status program naturalisasi badan induk itu yang ditangguhkan ketika ini, sama ada diteruskan atau dimansuh selepas menerima maklum balas daripada Jawatankuasa Naturalisasi dan Jawatankuasa Teknikal.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini tiada halangan daripada FAM kepada mana-mana kelab tempatan yang ingin menaturalisasikan pemain masing-masing. - Bernama