PDRM siap siaga hadapi PRK Rantau

Zainal (dua, kiri) bersama Myung Suk (kanan) ketika Program Capacity Building dan Kunjungan Kapal Korea Coast Guard (KCG), di Jeti Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang.
Zainal (dua, kiri) bersama Myung Suk (kanan) ketika Program Capacity Building dan Kunjungan Kapal Korea Coast Guard (KCG), di Jeti Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia hadapi proses Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau pada 13 April depan.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) KDNKA Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, KDNKA akan berhubung dengan Kontinjen Negeri Sembilan serta daerah berkenaan untuk mengenal pasti jumlah keanggotaan yang diperlukan.

"Kita akan menggembleng jumlah keanggotaan berdasarkan keperluan.

"Buat masa ini saya difahamkan penggunaan tenaga manusia untuk PRK nanti akan digunakan dari Kontinjen Negeri Sembilan," katanya dalam sidang media Program Capacity Building dan Kunjungan Kapal Korea Coast Guard (KCG), di Jeti Boustead Cruise Centre, di sini, hari ini.

Zainal berkata, pihaknya sentiasa bersedia dari pelbagai sudut termasuklah bantuan daripada unit Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Katanya, jumlah keanggotaan yang ada ini mencukupi bagi polis menangani isu serta perkara yang timbul sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

"Tiada perkara yang perlu dibimbangkan dari segi keselamatan serta ketenteraman awam. Jika ada sebarang ceramah atau aktiviti kempen perlu maklumkan kepada polis dari segi prosedur dan undang-undang," katanya.

Program yang turut dihadiri Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat dan Pengarah Latihan KCG, Senior Superintendan Ko Myung Suk ini merupakan mekanisme yang baik bagi meningkatkan persahabatan dan persefahaman di kalangan kakitangan dari pelbagai agensi pengawal dan marin di rantau Asia Pasukan Polis Marin.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lepas mengisytiharkan kemenangan calon BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada PRU14 bagi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.

Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan pula menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban itu sekali gus membuka laluan untuk PRK diadakan di DUN Rantau.