Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang pacu industri perumahan negeri

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) bagi memacu industri perumahan dan membantu pemilikan kediaman untuk rakyat negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan LPHP akan meningkatkan keupayaan negeri untuk menyediakan keperluan kediaman kepada rakyat.

Menurutnya, LPHP akan bertindak sebagai penasihat dan penguat kuasa kepada hal-hal berkaitan perumahan.

"Selain melaksanakan projek perumahan, LPHP juga akan memberi fokus kepada Projek Skim Tanah Warisan (STW), Projek Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'TASA),Projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) dan Projek Rumah Penjawat Awam Pahang (RPAP) yang akan dilaksanakan kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan melalui Facebook rasminya.

Sementara itu, memetik laporan Portal Pahang Media, seramai 12 ahli LPHP dilantik dan menerima watikah pelantikan masing-masing.

Watikah pelantikan itu disampaikan Wan Rosdy selaku Pengerusi LPHP dalam satu majlis di Wisma Sri Pahang di sini, pada Selasa.

Penyerahan watikah pelantikan itu selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) ke-31/2021 (Khas) pada 16 Ogos 2021 yang bersetuju meluluskan Cadangan Rang Undang-undang (RUU) dan Penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang 2021.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda dilantik sebagai Timbalan Pengerusi LPHP.

Artikel Berkaitan:

Ahli LPHP pula terdiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak; Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Saiful Edris Zainuddin, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Indera Nazri Abu Bakar dan Pengarah Eksekutif (Interim) LPHP, Ismayati Ismail.

Turut dilantik sebagai ahli LPHP, Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Exco Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Abd Aziz Mat Kiram sebagai wakil kerajaan negeri.

Berada dalam senarai itu, Pengarah Tanah Dan Galian Negeri, Datuk Fadzilla Salleh; Pengerusi Majlis Peguam Malaysia Negeri Pahang, Abdullah Johari Hamzah; Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), Datin TPr Noraida Saludin; Presiden Lembaga Arkitek Malaysia (LAM), Datin Ar. Yong Razidah Rashid dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Pahang, Wong Kok Loon.

Pelantikan itu berkuatkuasa bermula 1 Januari lalu seperti diperuntukan di bawah Seksyen 6 Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang 2021.