BATC 2022: Nasib berbeza dialami skuad lelaki, wanita negara

Zii Jia menjadi sandaran skuad lelaki negara bagi memburu mata pada BATC 2022 yang bermula minggu depan.
Zii Jia menjadi sandaran skuad lelaki negara bagi memburu mata pada BATC 2022 yang bermula minggu depan.
A
A
A

SKUAD lelaki negara dilihat mendapat laluan agak mudah untuk menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 apabila diundi dalam Kumpulan B menentang Jepun, Singapura dan Kazakhstan.

Pada majlis undian di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada Selasa, Malaysia yang merupakan naib juara edisi 2020 di Manila, berjaya mengelak berdepan juara tiga kali berturut-turut Indonesia (2016, 2018 2020), India, Korea Selatan dan Hong Kong yang diundi dalam Kumpulan A.

Saingan wanita pula menyaksikan Malaysia bakal mengharungi cabaran sengit apabila diundi dalam Kumpulan Y menentang juara bertahan Jepun dan India, manakala Kumpulan Z dibarisi Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.

Berikutan pasukan seperti China, Thailand dan Taiwan tidak menyertai edisi kali ini yang bakal berlangsung bermula 15 hingga 20 Februari, format kejohanan kali ini diubah apabila tiada pusingan suku akhir dipertandingkan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan terus mara ke peringkat separuh akhir, sekali gus menempah tiket kelayakan automatik ke Piala Thomas dan Piala Uber 2022 yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan menjangka perebutan untuk memburu tiket ke separuh akhir agak sengit walaupun Jepun tidak menghantar pasukan terbaiknya, kerana Malaysia kali ini diwakili oleh gabungan pemain berpengalaman dan muda.

Beliau berkata, pemain perseorangan nombor satu negara Lee Zii Jia, kekal menjadi harapan utama pasukan negara pada saingan kali ini walaupun pemain itu telah keluar daripada naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara bebas.

"Zii Jia penting, terutamanya dengan Singapura (diketuai oleh juara dunia Loh Kean Yew) kerana selama ini 50-50, kalau dia menang (laluan) lebih senang, tetapi (beregu lelaki) Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan menjadi salah satu sandaran utama kita, kemudian kita ada Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao yang dilihat sudah boleh menangani tekanan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga akan cuba matangkan pemain seperti Tze Yong dan Jun Hao kerana tahun ini ada banyak temasya utama dan kejohanan berpasukan seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Piala Thomas,” katanya selepas undian.

Hendrawan turut berharap untuk memberikan peluang kepada semua pemain dalam pasukan beraksi, terutamanya pemain muda seperti beregu lelaki yang menjuarai Syed Modi India International 2022 bulan lepas, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Lim Chong King. - Bernama