Jangan risau, identiti pemberi maklumat dirahsiakan

Mohamad Noor (tiga, kanan) dan Abdul Aziz (tiga, kiri) bersama sebahagian IPD polis bergambar selepas menyampaikan poster pencegahan jenayah.
Mohamad Noor (tiga, kanan) dan Abdul Aziz (tiga, kiri) bersama sebahagian IPD polis bergambar selepas menyampaikan poster pencegahan jenayah.
A
A
A

KUANTAN - Polis beri jaminan pemberi maklumat jenayah adalah rahsia dan masyarakat tidak perlu takut untuk melaporkan.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, hubungan masyarakat dalam konteks pencegahan jenayah kepada polis amat signifikan dan tinggi nilainya.

"Dalam kes curi lebih 100 penutup besi longkang, orang ramai mengambil gambar dan menghantar kepada polis yang akhirnya membawa kepada penangkapan pelaku.

"Inilah yang kita lihat sebagai pentingnya kecurigaan masyarakat untuk menjadi mata-mata kepada polis. Masyarakat tidak perlu takut untuk melaporkan jenayah kerana maklumat mereka adalah rahsia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di Astaka Anjung Selera Sungai Lembing di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Senior Asisten Komisioner, Datuk Abdul Aziz Salleh.

Pada sesi dialog bersama penduduk, Mohamad Noor menyatakan tiga perkara yang menjadi kebimbangan polis daerah ini, pada masa kini.

"Pertama kes ponteng sekolah yang semakin meruncing. Ada sistem di sebuah sekolah daerah ini mewujudkan sistem 'thumb print' dalm rekod kehadiran pelajar.

Artikel Berkaitan:

"Malangnya daripada 1,200 pelajar, empat peratus sahaja buat semakan. Saya sangat terkejut dan ada ibu bapa yang marah guru kenapa tak paksa anak mereka ke sekolah," katanya.

Menurutnya, perkara kedua ialah jenayah rogol melibatkan pelajar sekolah dan ketiga adalah sikap ibu bapa terhadap masalah melibatkan pelajar termasuk ponteng sekolah.

"Untuk dua bulan ini kebimbangan terhadap kes rogol melibatkan pelajar sekolah membimbangkan.Ibu bapa tolong bantu salurkan maklumat kepada PDRM

"Polis akan cuba berbincang untuk menimbulkan kesedaran ibu bapa memastikan anak ke sekolah dan menjadi pelapor serta pemantau gejala sosial pelajar," katanya.