SOP baharu ibadah umrah jadi tanda tanya

Mohamad Zuhdi (kiri) bersama jemaah umrah Januari lalu.
Mohamad Zuhdi (kiri) bersama jemaah umrah Januari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Perjalanan semula umrah yang sepatutnya beroperasi semula pada Selasa menimbulkan tanda tanya selepas kerajaan belum mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) baharu sehingga kini.

Bakal jemaah, Norita Sahir, 35, berkata, kerajaan sepatutnya mengumumkan SOP baharu itu seminggu sebelum tarikh semula operasi bagi memudahkan urusan bakal jemaah mengatur perjalanan.

Norita
Norita

Menurutnya, situasi itu menimbulkan kebimbangan akan kemungkinan penerbangan yang dijadualkan 12 Februari ini ditangguhkan lagi.

"Saya harap kerajaan umum SOP baharu hari ini kerana ia penting buat panduan para jemaah yang bakal berlepas dalam masa terdekat. Jadi bolehlah saya ke sana dengan lapang dada.

"Disebabkan arahan yang berubah-ubah, saya kena bersedia dengan segala kemungkinan. Saya sediakan RM5,000 untuk kegunaan kecemasan seperti kos kuarantin seandainya kerajaan tidak lagi menanggung kemudahan tersebut," katanya.

Seorang lagi jemaah, Maimunah Husin, 60, berkata, dia belum menetapkan tarikh baharu penerbangan kerana masih menunggu pengumuman SOP baharu oleh kerajaan.

"Saya tak berani nak tetapkan tarikh baharu kerana bimbang ada perubahan SOP yang membebankan terutama dari segi kos kuarantin.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu saya mahu tunggu dulu, lagi pun saya ada hubungi agensi umrah dan mereka juga maklumkan belum ada tarikh baharu penerbangan kerana masih menunggu pengumuman SOP.

"Harap kerajaan segerakan pengumuman SOP baharu supaya jemaah tidak tertanya-tanya statusnya," katanya.

Sementara itu Pengurus In Saff Travel & Tours Sdn Bhd Rawang, Mohamad Zuhdi Mat Piah berkata, pihaknya menguruskan perjalanan umrah jemaah seperti biasa walaupun SOP baharu belum diumumkan.

Mohamad Zuhdi
Mohamad Zuhdi

"Permohonan visa dari Arab Saudi dan tiket penerbangan ke sana tiada masalah, yang masalah sekarang hanya SOP antaranya melibatkan pengambilan dos penggalak dan syarat bagi jemaah bawah umur yang masih belum jelas.

"Kerajaan maklumkan penangguhan hanya sebulan, sepatutnya dalam tempoh itu SOP diperkemas, bukan masa tarikh penerbangan baru nak umum SOP," katanya.

Bagi melancarkan perjalanan umrah katanya, jemaah diberikan dua perlindungan insurans semasa permohonan visa dan melalui pakej disediakan syarikat pengendali umrah.

"Jika terjadi apa-apa semasa umrah, jemaah ada perlindungan insurans menerusi bayar dahulu tuntut kemudian. Cuma proses tuntutan mengambil masa lama menyebabkan ada jemaah tidak puas hati.

"Apabila libatkan ibadah urusan menjadi payah, saya harap kerajaan permudah urusan jemaah," katanya.