[VIDEO] MPN syor sempadan negara dibuka 1 Mac

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun ujian saringan Covid-19 sebelum dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM).

"Pembukaan sempadan perlu dilaksanakan secara terancang berdasarkan penilaian risiko semasa," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN dekat sini pada Selasa.

Muhyiddin berkata, pembukaan sempadan tidak terhad kepada negara tertentu sebaliknya terbuka untuk semua negara.

"Dalam taklimat tadi, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan Omicron sudah ada di seluruh dunia dalam masyarakat, jadi tidak boleh pilih-pilih," katanya.

Beliau berkata, langkah itu dijangka memacu semula pemulihan ekonomi negara.

"Pelawat asing boleh datang, para pelabur boleh masuk dan pelancong juga akan meningkat sekali gus industri pelancongan kembali pulih.

"Syarikat penerbangan dan kedai-kedai yang bergantung terhadap pelancong juga boleh kembali baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin berkata, kebimbangan rakyat terhadap kemungkinan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tidak berbangkit.

"Tidak boleh patah balik (laksana PKP) dah. Saya rasa pengalaman sedia ada memadai untuk membantu kita menguruskan Covid-19 tetapi sentiasa perlu beringat kepada prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

@sinarharianonline Pembukaan sempadan antarabangsa tu katanya terpakai kepada semua negara ya... #fyp#TikTokNews#ViralNewsMalaysia#BuletinTikTok#Covid19 original sound - Sinar Harian