Penduduk dakwa air kopi, teh jadi rasa masin payau

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Penduduk di sekitar kawasan Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa mengadu menghadapi gangguan bekalan air paip disalurkan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang didakwa mereka berasa masin dan payau sejak beberapa hari lalu.

Seorang peniaga wanita di Kubang Kerian,43 berkata, keadaan berlaku itu mengganggu rutin harian pengusaha kedai makan kerana pelanggan merungut terhadap air yang disediakan mengandungi rasa masin dan payau.

"Pelanggan merungut air minuman di kedai saya berasa masin dan payau. Air kopi, teh dan semua jenis minuman yang dibuat menggunakan air paip itu akan rasa masin.

“Ada pelanggan minta tambah kopi tetapi tetap rasa masin. Kasihan pelanggan kerana mereka tidak dapat menghabiskan minuman yang masin dan payau,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.

Menurutnya, keadaan itu berlaku sejak lima hari lalu menyebabkan dia terpaksa menggunakan air telaga dari rumah ibunya di Kampung Pulau Raja Kubang Kerian untuk berniaga.

“Sebanyak 10 gelen air diangkut dua kali sehari dengan menggunakan kereta dan ini adalah kejadian pertama kali berlaku sejak saya berniaga tujuh tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah di Kampung Kenali, Kubang Kerian, 39, berkata, keadaan air paip rasa masin dan payau itu menyebabkan loya apabila digunakan untuk berkumur serta menggosok gigi.

“Kalau digunakan untuk mandi, akan rasa melekit pada badan dan sekarang kami perlu membeli air mineral untuk minuman.

Artikel Berkaitan:

“Air paip ini walaupun melalui penapis air atau dimasak masih terasa masin,” katanya.

Seorang lagi penduduk di Pengkalan Chepa, Mohd Firdaus Shamsudin, 35, mengharapkan pihak AKSB segera mengatasi masalah kualiti air yang dibekalkan tersebut.

“Kami tidak tahu kandungan yang menyebabkan air tersebut masin dan dibimbangi apabila diminum boleh menyebabkan sakit perut terutama kepada kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar AKSB, Datuk Dr Azuhan Mohamed ketika dihubungi berkata, gangguan kualiti air tersebut berpunca daripada penerobosan air laut ke Sungai Pengkalan Datu di sini dan dipercayai meresap ke bawah permukaan tanah.

Menurut beliau, gangguan berlaku di kawasan agihan Logi Rawatan Air (LRA) Chicha, Kubang Kerian dengan bacaan kandungan klorida adalah 2.27 gram per liter pada Khamis lalu.

“Bagi meningkatkan sumber air mentah di LRA Chicha untuk menghadapi permintaan air yang tinggi semasa sambutan Tahun Baharu Cina, AKSB menyalurkan air Sungai Pengkalan Datu ke Telaga Jejari Pasir Tumboh (TJ) pada 30 Januari lalu dan kandungan klorida dalam air sungai pada masa itu adalah 0.14 gram per liter.

“Pada 31 Januari lalu, kadar pengeluaran air terawat dari LRA Chicha adalah 71.6 juta liter sehari (JLH) berbanding 62 JLH kadar pengeluaran air sebelum penyaluran air Sungai Pengkalan Datu ke TJ,” katanya.

Menurutnya susulan aduan itu, pengepaman air mentah dari TJ dikurangkan secara berperingkat dan pada hari Isnin pengepaman air mentah dari TJ dihentikan sepenuhnya susulan kandungan klorida dalam air terawat masih tinggi.

“Kualiti air terawat dari LRA Chicha akan beransur pulih. Sebarang aduan berkenaan bekalan air boleh dibuat kepada AKSB melalui talian 15777 atau WhatsApp ke 019-5755777 atau emel ke pintas@airkelantan.com.my atau applikasi MyAKSB yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan App Store,” katanya.