Zuraida masih Ahli MPT Bersatu: Muhyiddin

Muhyiddin (dua, kiri) menyerahkan geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar Institut Masa Depan Malaysia (MPDP) kepada salah seorang penerima dalam majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Muhyiddin (dua, kiri) menyerahkan geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar Institut Masa Depan Malaysia (MPDP) kepada salah seorang penerima dalam majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih kekal, walaupun ada dakwaan mengatakan Ahli Parlimen Ampang itu sudah menyertai parti lain.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia berikutan parti masih belum memperoleh kenyataan sebenar daripada Zuraida yang merupakan bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Belum lagi dapat buat apa-apa keputusan mengenai kedudukannya walaupun banyak pihak menyatakan beliau (Zuraida) sudah menyertai parti lain. Jadi ringkasnya, beliau masih lagi Ahli MPT Bersatu dan kalau ada apa-apa perkembangan mungkin kami buat penilaian bagaimana status beliau.

"Bukan sahaja kedudukan beliau dalam MPT tetapi (juga) jemaah menteri kerana beliau adalah ahli Bersatu dan atas dasar itu beliau dilantik menjadi menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan dipersetujui Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).

"Setakat hari ini tidak mengambil tindakan apa-apa ke atas (Zuraida)," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar Institut Masa Depan Malaysia (MPDP) di sini, pada Isnin.

Muhyiddin mengulas mengenai kedudukan Zuraida susulan terdapat dakwaan Ahli MPT Bersatu itu terbabit dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Desas-desus mengenai kedudukan Zuraida dalam Bersatu bertiup kencang selepas Lembaga Disiplin Bersatu dilaporkan sedang menyiasat dakwaan itu.

Ahli MPT Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman dilaporkan berkata, ia susulan isu itu dibangkitkan ketika mesyuarat MPT parti pada 25 Januari lalu, yang antara lain menyentuh kemungkinan Zuraida perlu dipecat kerana pembabitannya dengan PBM.

Artikel Berkaitan: