Penubuhan Parti Warisan di Tanjung Piai tidak gugat UMNO

Penubuhan cawangan Warisan di kawasan Parlimen Tanjung Piai didakwa tidak akan memberi kesan kepada UMNO pada PRN Johor. (Gambar kecil: Jefridin)
Penubuhan cawangan Warisan di kawasan Parlimen Tanjung Piai didakwa tidak akan memberi kesan kepada UMNO pada PRN Johor. (Gambar kecil: Jefridin)
A
A
A

PONTIAN - Penubuhan cawangan Parti Warisan (Warisan) di kawasan Parlimen Tanjung Piai didakwa tidak akan memberi kesan kepada UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan berkata, sebagai sebuah parti politik yang cukup matang, UMNO bersedia berdepan lawan sama ada daripada Warisan atau parti politik yang lain.

Tegasnya, Tanjung Piai cukup istimewa pada PRN Johor kali ini memandangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) pernah diadakan pada tahun 2019 yang menyaksikan calon daripada Barisan Nasional ( BN) menang ketika itu

"UMNO Bahagian Tanjung Piai tidak gentar dengan penubuhan Warisan di sini. Malah kami cukup bersemangat pertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup dan merampas kembali DUN Pekan Nanas.

"Kemenangan pada PRK lalu akan menjadi pembakar semangat kepada UMNO Bahagian Tanjung Piai yang mempunyai kekuatan keahlian seramai 16,640 orang untuk berdepan dengan PRN kelak," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Seramai 300 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai sebelum ini mengisytiharkan keluar daripada parti itu dan menyertai Warisan dalam sebuah majlis yang diadakan di Pekan Nanas di sini pada malam Ahad.

Kesemua mereka terdiri daripada ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Tanjung Piai dan lima cawangan Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Pekan Nanas Timur, Pekan Nanas Selatan, Ladang South Malaya, Melayu Raya dan Lubok Sawah.

Artikel Berkaitan: