Warisan buat keputusan sertai PRN Johor dalam masa terdekat

Junz Wong (dua dari kiri) bersama beberapa ahli baharu yang mengumumkan menyertai Warisan di Pekan Nanas Pontian pada Ahad.
Junz Wong (dua dari kiri) bersama beberapa ahli baharu yang mengumumkan menyertai Warisan di Pekan Nanas Pontian pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Keputusan Parti Warisan (Warisan) bertanding atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diketahui dalam masa terdekat.

Naib Presidennya, Datuk Junz Wong berkata, perkara itu akan diumumkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas menilai laporan keperluan menyertai PRN Johor.

“Laporan penilaian tersebut akan saya siapkan pada Isnin dan akan dihantar kepada Mohd Shafie untuk dinilai dan keputusannya akan diumumkan.

"Mohd Shafie akan berada di Johor Bahru pada 15 Februari untuk pelancaran rasmi Warisan Johor. Mungkin pengumuman penyertaan pada PRN Johor akan dibuat pada tarikh pelancaran itu nanti atau beberapa hari sebelum program terbabit diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima borang keahlian daripada 300 bekas ahli Bersatu Tanjung Piai diketuai mantan setiausahanya, Hishamuddin Busri di Pekan Nanas di sini pada malam Ahad.

Junz Wong memberitahu Warisan masih belum didekati oleh mana-mana wakil Pakatan Harapan (PH) untuk membincangkan kerjasama pada PRN Johor kali ini.

Justeru katanya, tiada lagi sebarang perbincangan mahupun sebarang memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dengan PH.

“Sekiranya Warisan sah menyertai PRN Johor, parti tidak mahu bertembung dengan PH dan hanya berminat untuk memberikan pilihan alternatif kepada pengundi Johor,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, media melaporkan Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman memberi bayangan parti itu sah menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan kerjasama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Beliau berkata perkara itu bakal diumumkan oleh Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam masa terdekat.

Sebelum itu pada, 23 Januari lalu Warisan dilaporkan masih meneliti sama ada akan membuat kemunculan pertama bertanding di Semenanjung menerusi PRN Johor.