Kim Swee tabik karakter pemain Harimau Muda

Tonggak Sabah, Baddrol Bakhtiar ketika beraksi menentang skuad B-23 negara dalam perlawanan persahabatan di Likas.
Tonggak Sabah, Baddrol Bakhtiar ketika beraksi menentang skuad B-23 negara dalam perlawanan persahabatan di Likas.
A
A
A

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memuji skuad Bawah (B-23) tahun negara yang tidak gentar berhadapan para pemain The Rhinos yang lebih berpengalaman.

Malah menurut pengendali berusia 51 tahun itu, anak buah Brad Maloney langsung tidak menunjukkan sebarang kesukaran bersaingan dengan para pemain Sabah yang mempunyai pemain jauh lebih berusia walaupun skuad muda negara turun tanpa beberapa tonggak utama dan hanya berlatih selama beberapa hari.

Bagaimanapun kata Kim Swee, masih terlalu awal untuk menilai keupayaan sebenar skuad pelapis negara tersebut memandangkan pasukan itu baru bermain satu perlawanan kompetitif tempatan dan bukannya antarabangsa yang berbeza dari segi momentum serta intensiti

“Pemain muda negara harus diberi pujian kerana tidak menunjukkan sebarang kesukaran bermain dengan pemain lebih senior. Ini menunjukkan satu pengalaman yang cukup baik, buat mereka sebelum ke Kemboja bagi kejuaraan AFF B-23.

“Namun masih terlalu awal untuk saya katakan mereka mampu menjadi pencabar bagi merebut kejuaraan itu memandangkan seperti yang kita tahu skuad ini bukanlah skuad utama yang sebelum ini dibarisi pemain muda berpengalaman.

“Sebab kita perlu faham, yang mereka main ini adalah perlawanan lokal dan bukannya antarabangsa yang saya lihat berbeza dari segi momentum dan intensiti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Dalam pada itu Kim Swee memuji tindakan Maloney menyenaraikan muka baharu bagi mengharungi kejuaraan tersebut sambil menyifatkannya tindakan bijak dalam menghadapi beberapa lagi kejohanan besar tahun ini.

“Saya boleh katakan tindakan Maloney bereksperimen dengan meletakkan beberapa muka baharu tindakan bijak supaya dia ada kumpulan pemain yang besar untuk dipanggil sebagai persediaan menghadapi beberapa kejohanan selepas ini.

Artikel Berkaitan:

“Malah ia juga bagus buat pemain-pemain muda supaya dapat lebih pengalaman untuk bermain di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengulas prestasi The Rhinos, Kim Swee berkata, secara keseluruhan para pemain Sabah telah menunjukkan peningkatan, namun masih terdapat ketumpulan bahagian penyudah pasukan.

Justeru, beliau berharap supaya dua penyerang import Altemir Cordeiro Pessoa Neto dari Brazil dan Taiki Kagayama dari Jepun dapat menyelesaikan masalah itu menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga-M).