BN perlu pertimbang 30 peratus calon wanita

BN perlu pertimbangkan penambahan sebanyak 30 peratus calon wanita dalam PRN Johor. - Foto fail Bernama
BN perlu pertimbangkan penambahan sebanyak 30 peratus calon wanita dalam PRN Johor. - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) perlu mempertimbangkan penambahan sebanyak 30 peratus calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Exco Wanita UMNO, Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, ia merupakan keputusan strategik yang akan memberi nafas baharu kepada parti.

“Malahan, tanda aras 30 peratus calon wanita ini boleh memberi kelebihan kepada parti untuk mendapat sokongan wanita dan orang muda.

“Pemilihan lebih ramai wanita sebagai calon juga akan memberi semangat yang lebih kepada jentera wanita bekerja.

“Sudah menjadi rahsia umum bahawa wanita UMNO merupakan antara senjata parti yang paling ampuh dalam setiap kali pilihan raya,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi miliknya pada Ahad.

Mastura berkata, pemilihan calon wanita haruslah berdasarkan merit dan kebolehan untuk menjadi wakil rakyat, bukan sekadar kerana kedudukan dalam parti dan lobi politik.

“Dengan kata lain, biarlah pemilihan calon-calon wanita untuk BN mencerminkan keupayaan dan kebolehan sebenar wanita negara.

“Insya-ALLAH kita mempunyai ramai wanita Johor yang berkebolehan dan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negeri Johor jika diberi kepercayaan. Moga dipermudahkan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurutnya, berdasarkan daftar pemilih lalu, jumlah pengundi lelaki ialah 912,121 dan pengundi wanita 937,463.

“Walaupun kini jumlah pengundi di Johor telah meningkat kepada sekitar 2.5 juta orang, saya percaya nisbah antara lelaki dan wanita adalah seimbang.

“Dengan jumlah pengundi yang seimbang ini, memperuntukan sekitar 30 peratus calon PRN Johor dalam kalangan wanita bukan sesuatu yang terlalu besar untuk dipertimbangkan,” jelasnya.