PRU15 perlu diadakan lebih awal

Mohd Yusoff (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ku Li di Forum Perpaduan MPMNPP di USM pada Ahad.
Mohd Yusoff (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ku Li di Forum Perpaduan MPMNPP di USM pada Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan dalam masa terdekat bagi menangani krisis politik yang melanda negara sejak dua tahun lalu daripada berterusan.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pilihan raya umum juga dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada ketidakstabilan politik negara ketika ini.

Menurutnya, selain itu, ia juga dapat memberi semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil dan kukuh untuk mentadbir negara.

"Saya setuju PRU diadakan awal, kita nak pilihan raya diadakan awal. Ini kerana, hanya menerusi PRU15 rakyat boleh kembali memilih dengan jelas sebuah kerajaan sekali gus menamatkan kecelaruan politik yang sedang berlaku pada masa ini.

"Jika pilihan raya diadakan awal, mandat rakyat dapat dikembalikan untuk memilih kerajaan yang stabil. Mana ada negara di dalam dunia ini yang bertukar kerajaan dua kali dalam masa dua tahun.

"Setidak-tidaknya lima tahun baharu tukar kerajaan. Ini lah yang dikatakan ketidaktentuan politik," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Perpaduan Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP) di Universiti Sains Malaysia pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi MPMNPP, Tan Sri Mohd Yussof Latiff.

Mengulas mengenai relevannya pemilihan UMNO diadakan sebelum PRU, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, perkara itu boleh diadakan pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

"Pemilihan boleh diadakan pada bila-bila masa dan masalah rakyat ini perlu diselesaikan dahulu. Soal rakyat yang penting berbanding soal pimpinan UMNO yang boleh ditentukan bila-bila masa.

"Kehidupan rakyat perlu dibela dahulu, oleh yang demikian, kita kena adakan PRU," jelasnya.

Veteran UMNO itu menambah, UMNO tidak mempunyai calon untuk dijadikan Perdana Menteri.

"Selepas Tun Dr Mahathir (Mohamad), Tan Sri Muhyiddin Yassin naik jadi Perdana Menteri kerana UMNO tak ada calon.

"Ini bukan soal tiada keupayaan tetapi UMNO tak ada calon untuk dikemukakan sebagai Perdana Menteri. Cuma yang ada sekarang itu, kebetulan sahaja lah, tetapi tiada dari Majlis Tertinggi UMNO mencalonkan siapa-siapa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan dalam masa terdekat tidak boleh dijadikan penanda aras untuk UMNO menang besar pada PRU akan datang.

"Sekiranya PRU diadakan lebih awal, tiada mana-mana parti yang akan menang dengan majoriti yang besar. Mungkin sudah jelas tidak ada satu parti yang boleh menang dengan majoriti yang besar sekiranya diadakan pilihan raya.

"Jika menang pun, kita perlu berkongsi kuasa dengan parti-parti lain. Bagaimanapun, kita perlu letakkan syarat agar parti berkenaan tidak bertentangan dengan UMNO," katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak menggesa agar PRU15 diadakan segera selepas semakin banyak kecelaruan politik berlaku di dalam negara sehingga menggugat kestabilan kerajaan Pusat.

Selain itu, para penganalisis politik turur berpendapat hanya PRU-15 dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku membabitkan perebutan kuasa antara parti-parti politik.