'Pak belang sudah kembali ke hutan'

Gambar kecil: Yusoff
Gambar kecil: Yusoff
A
A
A

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak memaklumkan seekor harimau belang yang kelibatnya dirakam berkeliaran Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland dipercayai telah kembali semula ke dalam hutan.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, tinjauan staf Unit Harimau di lokasi terbabit mendapati kelibat harimau tersebut tidak lagi kelihatan.

Bagaimanapun, menurutnya, pemantauan di lokasi masih diteruskan.

"Staf unit sudah ke lokasi dan buat tinjauan, tapi harimau tersebut sudah tiada. Mungkin sudah masuk semula ke hutan berhampiran iaitu Hutan Simpan Kekal Bukit Tapah.

"Pihak kami akan buat pemantauan dari masa ke masa bagi memastikan keselamatan orang ramai dan keselamatan harimau itu sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Yusoff turut mengesahkan bahawa video yang tular sebelum ini memaparkan harimau belang itu berkeliaran adalah benar.

Menurutnya, terdapat saksi yang pernah melihat harimau belang tersebut.

Pada Sabtu, Perhilitan Perak menyiasat video yang tular memaparkan seekor harimau belang berkeliaran di kawasan semak berhampiran Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini.

Artikel Berkaitan:

Video berdurasi 17 saat itu dimuat naik ke dalam akaun seorang pengguna TikTok memaparkan seekor harimau sedang merayau di kawasan semak berbukit.

Menurut maklumat yang dikongsi di dalam video itu, kejadian dikatakan berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berdekatan sebuah restoran.