JPNS nafi dakwaan penjualan tanah hutan simpan

Poster dipercayai dikeluarkan oleh RDP supaya menghentikan penjualan tanah berstatus hutan simpan kekal (HSK).
Poster dipercayai dikeluarkan oleh RDP supaya menghentikan penjualan tanah berstatus hutan simpan kekal (HSK).
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menafikan dakwaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan penjualan tanah berstatus hutan simpan kekal (HSK).

Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, lokasi yang dinyatakan bukan sebahagian daripada kawasan berstatus HSK yang diwartakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

"Kenyataan media itu berdasarkan satu kajian survei yang dijalankan oleh badan bebas dikenali sebagai Rimba Disclosure Project (RDP).

"Terdapat dua lokasi di Selangor yang didakwa telah diiklankan melalui laman web untuk dijual iaitu di Pulau Indah (Pulau Lumut) seluas 192 hektar dan Puncak Alam seluas 72 hektar.

"Hasil semakan ke atas kedua-dua lokasi tersebut bukan berstatus HSK," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, menurut survei tersebut sebanyak 43,539 hektar tanah berstatus HSK di negeri Perak, Selangor, Terengganu dan Kelantan cuba dijual secara komersial menerusi beberapa laman web termasuk media sosial.

"Daripada keluasan tersebut, seluas 264 hektar tanah melibatkan negeri Selangor.

"Berdasarkan semakan JPNS lokasi yang dimaksudkan untuk penjualan tersebut bukan berstatus HSK," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan berkenaan pembongkaran RDP membabitkan penjualan 43,539 hektar tanah berstatus HSK

Badan bebas yang memperjuangkan perlindungan hutan hujan di Malaysia itu telah mengenal pasti 43,539 hektar tanah dalam hutan simpan terdiri daripada tanah adat orang asli cuba dijual melalui 28 penyenaraian di beberapa laman web termasuk Facebook tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadzil berkata, keluasan HSK di negeri ini berjaya ditingkatkan kepada 250,250.29 hektar pada 2021.

Katanya, kejayaan tersebut merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri melalui beberapa inisiatif yang dilaksanakan sejak tahun 2010.

"Antaranya ialah menguatkuasakan Dasar Moratorium (Pembekuan) ke atas Pembalakan dalam HSK selama 25 tahun dan meminda Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 pada tahun 2011 untuk mengenakan syarat penyiasatan awam ke atas mana-mana penyahwartaan HSK," ujarnya.