Wanita ditemui terapung disahkan meninggal dunia akibat lemas

Mayat seorang wanita warga emas yang ditemui terapung di kawasan takungan air berhampiran Muzium Diraja, Jalan Istana di sini pada Rabu disahkan meninggal dunia akibat lemas. Gambar hiasan
Mayat seorang wanita warga emas yang ditemui terapung di kawasan takungan air berhampiran Muzium Diraja, Jalan Istana di sini pada Rabu disahkan meninggal dunia akibat lemas. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mayat seorang wanita warga emas yang ditemui terapung di kawasan takungan air berhampiran Muzium Diraja, Jalan Istana di sini pada Rabu disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan awal mendapati mangsa berumur lingkungan 60-an.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam berkaitan penemuan mayat seorang wanita kira-kira jam 9.46 pagi pada Rabu.

"Mangsa memakai baju T berkolar bulat berwarna merah dan seluar berwarna biru," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa.

"Siasatan awal menemukan sebuah beg kain berwarna kuning yang mengandungi sehelai baju berwarna merah dan sebingkai cermin mata.

"Mayat kemudiannya dibawa dan dirujuk ke Bahagian Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan di tubuh mangsa yang boleh dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat mati lemas.

"Waris mangsa telah berhubung dengan pihak polis Balai Brickfields dan pengecaman mangsa telah dilakukan di Bahagian Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya," katanya.