AS, diplomat Ukraine bincang ketegangan Rusia-Ukraine

Rusia didakwa menambah kekuatan ketenteraan di kawasan bersempadan Ukraine. - Foto fail Agensi
Rusia didakwa menambah kekuatan ketenteraan di kawasan bersempadan Ukraine. - Foto fail Agensi
A
A
A

ANKARA - Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken dan Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba mengadakan perbincangan mengenai krisis Rusia-Ukraine melalui panggilan telefon, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price berkata: "Mereka membincangkan mengenai tentera Rusia ditempatkan di sepanjang sempadan Ukraine dan langkah-langkah yang diambil Ukraine dan Amerika Syarikat untuk menggalakkan Rusia meneruskan diplomasi berbanding peperangan serta memastikan keselamatan dan kestabilan."

Berkongsi dengan Kuleba mengenai pertemuannya dengan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov baru-baru ini, Blinken juga mengulangi "kesediaan menangani kebimbangan keselamatan bersama dan sokongan tidak berbelah bahagi Amerika Syarikat terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine."

"Blinken juga menjelaskan kesediaan AS, bersama sekutu dan rakan kongsinya, untuk mengenakan tindakan yang cepat dan tegas ke atas Rusia jika ia memilih untuk menyerang," kata Price.

Rusia baru-baru ini menghimpunkan puluhan ribu tenteranya berhampiran sempadan timur Ukraine, mencetuskan kebimbangan bahawa Kremlin merancang satu lagi serangan ketenteraan terhadap bekas jirannya Soviet.

Moscow menafikan bahawa ia sedang bersedia untuk menyerang dan berkata tenteranya berada di sana untuk sesi latihan. - Bernama

Artikel Berkaitan: