Lelaki ditemui mati selepas bunuh isteri

Pegawai polis mendapatkan keterangan daripada ibu serta anak mangsa.
Pegawai polis mendapatkan keterangan daripada ibu serta anak mangsa.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah flat selepas dia disyaki membunuh isterinya dalam kejadian di Solok Paya Terubong, di sini pada pagi Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.38 pagi selepas polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat lelaki berusia 54 tahun di kawasan koridor flat berkenaan.

Menurutnya, penemuan mayat isterinya hanya disedari kira-kira jam 12 tengah hari selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan pintu rumah anaknya terkunci dari dalam.

"Selepas membuka pintu dengan kunci pendua, wanita itu menemui anaknya dalam keadaan terbaring berlumuran darah atas tilam dalam salah satu bilik.

"Pemeriksaan yang dilakukan oleh forensik mendapati terdapat kesan tikaman di bahagian leher dan paha wanita berusia 46 tahun berkenaan," katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian di sini, pada Jumaat.

Saravanan berkata, hasil siasatan polis mendapati wanita itu merupakan isteri kepada lelaki yang ditemui mati di kawasan koridor flat terbabit pada sebelah pagi.

Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian.

Katanya, pasangan itu yang bekerja kilang di Bayan Lepas dipercayai berselisih faham sebelum wanita tersebut disyaki ditikam oleh suaminya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, siasatan di rumah terbabit tidak menemui sebarang unsur pecah rumah dan polis berjaya menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Pasangan ini mempunyai seorang anak berusia 18 tahun, namun ketika kejadian anak lelaki mereka itu tiada di rumah.

"Walaupun kes ini boleh dianggap selesai namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian" katanya.

Saravanan berkata, kedua-dua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.