KKM teliti pelaksanaan larangan merokok

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti pelaksanaan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok kepada generasi akan datang melalui peruntukan berkaitan Generational End Game di dalam akta baharu iaitu Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan nanti.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pelaksanaan tersebut diharap dapat mengurangkan jumlah perokok baharu dan KKM juga boleh menumpukan perhatian kepada kos beban rawatan pesakit sedia ada.

“Dari aspek penjagaan dan rawatan untuk pesakit kanser di Malaysia, banyak juga kemajuan yang telah dicapai.

"KKM menyediakan perkhidmatan rawatan dan penjagaan yang terbaik serta berkualiti untuk pesakit-pesakit kanser, namun tidak dinafikan wujud ketidaksamaan dalam penjagaan dan rawatan kanser di negara ini.

"Kebanyakan perkhidmatan tertumpu di pusat-pusat bandar dan sukar untuk dicapai oleh pesakit yang tinggal jauh dari bandar atau pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sempena Hari Kanser Sedunia pada Jumaat bertemakan Close the Care Gap atau Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan satu pertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan pengambilan tembakau termasuk merokok, selain berat badan berlebihan, kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta tidak aktif secara fizikal.

Menurutnya, pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan ia menyumbang kepada 22 peratus kes kematian akibat kanser.

Artikel Berkaitan:

“Anggaran kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM132.7 juta,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit-pesakit kanser setelah lima tahun disahkan menghidap kanser adalah 11.0 peratus untuk kanser paru-paru, 51.1 peratus kanser kolorektal, 51.6 peratus kanser serviks, 66.8 peratus kanser payudara dan 73.0 peratus kanser prostate.

“Sebanyak 63.7 peratus dari keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat (tahap III dan IV). Tahap kanser semasa penyakit ini dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit-pesakit kanser,” katanya.

Tambah beliau lagi, kanser bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pesakit tetapi ia turut memberi kesan negatif termasuk psikososial dan ekonomi kepada keluarga serta pembangunan ekonomi negara.

“Secara amnya, faktor-faktor risiko kanser adalah serupa dengan faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) yang lain. Pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh,” ujarnya.

Sehubungan itu, sempena Hari Kanser Sedunia, Khairy Jamaluddin turut menggesa agar rakyat sentiasa menjadikan amalan cara hidup sihat dan menjaga kesihatan diri sebagai satu daripada agenda utama dalam kehidupan seharian.

“Ayuh berganding bahu dan beri sokongan padu kepada KKM untuk mengurangkan beban kanser yang kian meningkat dan bersama-sama menangani jurang penjagaan kanser di negara kita,” katanya.