Hanya peralatan sembahyang terbakar di kuil Kek Lok Si

Hanya alat perkakasan sembahyang di luar Kuil Kek Lok Si di Air Itam musnah dalam kebakaran tengah malam tadi. - Foto ihsan JBPM Pulau Pinang
Hanya alat perkakasan sembahyang di luar Kuil Kek Lok Si di Air Itam musnah dalam kebakaran tengah malam tadi. - Foto ihsan JBPM Pulau Pinang
A
A
A

GEORGETOWN - Hanya alat perkakasan sembahyang di luar Kuil Kek Lok Si yang berusia 131 tahun di Air Itam di sini musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, kebakaran dipercayai berlaku pada 12.50 tengah malam itu tidak melibatkan struktur bangunan terdapat di kuil tersebut seperti yang tular kononnya bangunan rumah ibadat berkenaan terbakar.

"Apabila pasukan bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian mendapati terdapat kebakaran melibatkan alat perkakasan sembahyang di luar kuil dan ia tidak melibatkan struktur. Tiada mangsa terlibat dalam kebakaran tersebut.

"Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak pada 12.56 tengah malam dan api dipadamkan sepenuhnya kira-kira 11 minit kemudian. Kerja-kerja overhaul selesai dan operasi ditamatkan sepenuhnya 1.30 pagi tadi," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: