Najib minta Muhyiddin tidak putar belit cerita

Najib
Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak memutar belit fakta berhubung penamaan calon Ketua Menteri ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan Muhyiddin mengenai keputusan menamakan jawatan Ketua Menteri Sabah daripada Bersatu, Datuk Seri Hajiji Noor diambil selepas UMNO sendiri tidak meletakkan calon pilihan mereka.

Menurut Najib, Muhyiddin menamakan Hajiji sebagai bakal Ketua Menteri pada 12 September 2020 yang mana hari penamaan calon dan bermulanya kempen PRN Sabah berlaku pada tarikh yang sama.

“Jadi, tang mana yang kamu tunggu hingga kempen tamat sedangkan sebelum kempen bermula pun kamu sudah berniat nak namakan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah?

“Awal-awal lagi dia sudah rancang, bukan sehingga tempoh kempen tamat seperti dalam kenyataan dia tadi,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dimenangi Bersatu merupakan kerusi tradisional UMNO dan kebanyakan calon adalah ‘katak’ yang lompat dari UMNO.

“UMNO disuruh serahkan kerusi tersebut pada Bersatu dan berkempen untuk mereka di kerusi diserahkan UMNO. UMNO menang 14 kerusi, Bersatu menang 11 kerusi, tetapi Bersatu pula jadi Ketua Menteri Sabah.

“Tak payah nak putar belit lagi, niat kamu sudah kita tahu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Najib turut mendesak Pengerusi Parti Perikatan Nasional (PN) itu menafikan kenyataan Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri dan rakaman video berhubung dakwaan parti itu ingin menjatuhkan UMNO.

“Memandangkan Perdana Menteri kelapan ada membaca hantaran saya, maka saya juga tuntut dia nafikan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Bersatu Johor minggu lepas.

“Sila juga nafikan rakaman ini bukan suara kamu yang didakwa dari mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Bersatu pada 23 Februari 2020 di mana suara ini merancang untuk sogok ahli-ahli UMNO untuk menjadi parti terbesar kerajaan?

“Cuba nafikan. Jadi, kenapa pula UMNO perlu berkawan dengan pihak yang niat sebenarnya ialah untuk tamatkan UMNO buat selama-lamanya dengan rancangan dari awal-awal lagi untuk sogok dan beli ahli UMNO?” soalnya.