Abu Syafiq mahu saman balas KJ RM500 juta

Defendan juga diarahkan menulis dan menyiarkan permohonan maaf kepada Abu Syafiq di laman Facebook dan YouTube. - Foto IG/@ustazabusyafiq (Gambar kecil tangkap layar hantaran Instagram Abu Syafiq)
Defendan juga diarahkan menulis dan menyiarkan permohonan maaf kepada Abu Syafiq di laman Facebook dan YouTube. - Foto IG/@ustazabusyafiq (Gambar kecil tangkap layar hantaran Instagram Abu Syafiq)
A
A
A

SHAH ALAM - Pendakwah bebas Mohd Rasyiq Mohd Alwi yang juga dikenali sebagai Abu Syafiq bercadang untuk membuat saman balas sebanyak RM500 juta terhadap Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ia selepas Khairy dilaporkan telah memfailkan saman fitnah terhadap kenyataannya mengenai isu program vaksinasi Covid-19 kerajaan.

“Saya akan saman balas RM500 juta. Saman menteri-menteri 'sedap sikit' sebab poket mereka ‘berkepok’,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada Khamis.

Media pada Khamis melaporkan bahawa Khairy telah memfailkan saman fitnah terhadap Abu Syafiq dan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Januari lalu.

Saman itu dibuat susulan tulisan dalam talian antara 20 Oktober tahun lepas hingga 10 Januari tahun ini berkaitan program vaksinasi Covid-19 kerajaan.

Saman tersebut difailkan melalui tetuan Rashid Zulkifli selepas defendan enggan mematuhi tuntutan Khairy antaranya supaya dakwaan-dakwaan mereka dipadam pada 16 Januari lalu.

Menurut laporan, Khairy menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta perintah supaya status dipertikaikan dipadam serta permohonan maaf di media sosial dan beberapa portal berita.

Dalam pada itu, Abu Syafiq menerusi satu hantaran berasingan sebelum itu turut menyatakan bahawa dia akan memadam segala hantaran dan video vaksin berkait dengan Ahli Parlimen Rembau itu.

Artikel Berkaitan:

“KJ (Khairy). Saya minta maaf banyak-banyak. Maafkan saya ye (ya). Saya akan buang semua video dan posting saya pasal abang KJ tu.

"Usahlah abang KJ bersedih. Saya sayang abang KJ. Semua orang pun sayang. ALLAH sayang," tulisnya dalam hantaran itu.