Polis cadang bina menara tinjau di Kelantan

Hazani (tiga dari kiri) mengadakan lawatan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Pos Ibrahim Pencen, Rantau Panjang pada Khamis.
Hazani (tiga dari kiri) mengadakan lawatan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Pos Ibrahim Pencen, Rantau Panjang pada Khamis.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan pembinaan menara tinjau di negeri ini yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand sebagai salah satu usaha membendung jenayah rentas sempadan terutama aktiviti penyeludupan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, cadangan tersebut akan dipanjangkan kepada pucuk tertinggi PDRM dan kerajaan kerana ia melibatkan banyak aspek termasuklah berkait dengan tanah.

"Kalau menara itu dapat dibina di setiap pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) lagi bagus. Tetapi kita kena tengok dari pelbagai aspek, sebagai contoh pemilikan tanah dan sebagainya," katanya selepas mengadakan lawatan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Pos Ibrahim Pencen di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, menurutnya, PDRM telah mengenalpasti beberapa lokasi yang sesuai untuk pembinaan menara tersebut.

Beliau berkata, jika hasrat itu berjaya dilaksanakan penugasan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini akan menjadi lebih ketat sekali gus dapat mencegah aktiviti jenayah rentas sempadan.

Dalam pada itu, Hazani berkata, PDRM akan turut mengemukakan usul untuk mewujudkan kawasan larangan dan tempat larangan berhampiran kawasan pos kawalan PGA di sempadan.

Katanya, larangan itu membolehkan penugasan PGA berjalan lebih kemas dan tersusun.

"PDRM turut memperketatkan lagi kawalan menerusi Unit Berkuda dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bermula Mac ini.

Artikel Berkaitan:

"Usaha ini memperlihatkan komitmen PDRM dalam memastikan sempadan negara berada dalam keadaan ketat," katanya.