Ulang tahun ke-53 DAP, Guan Eng ajak parti bina negara

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menjelang ulang tahun ke-53 penubuhan DAP yang akan diraikan esok, Lim Guan Eng menggesa partinya agar membina sebuah negara yang boleh banggakan untuk diwarisi generasi akan datang.

Setiausaha Agung DAP itu berkata selaku anggota gabungan Pakatan Harapan (PH), parti itu perlu memberi tumpuan kepada perpaduan negara, kemakmuran bersama yang membawa peluang saksama dalam pekerjaan, pendidikan dan perniagaan.

Menurutnya parti itu juga perlu terus menekankan kepada tadbir urus yang bersih semasa memerangi rasuah, menghormati undang-undang dan keadilan untuk semua.

“Kami sekadar mampu mengingatkan rakyat Malaysia berkali-kali bahawa hanya gabungan parti PH yang dapat mewakili semua rakyat Malaysia, tanpa mengira demografi atau geografi. Namun itu tidak memadai kerana rakyat mahu lihat bagaimana taraf hidup mereka dapat ditingkatkan.

“Maka kerana itu, dua fokus kita ialah mengotakan janji-janji kita yang disampaikan dalam manifesto Pilihanraya Umum PH, dan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang baik, meningkatkan pendapatan isi rumah, dan mengawal kos sara hidup supaya rakyat dapat menikmati taraf hidup yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata PH tidak lari dalam menghadapi banyak cabaran yang dibangkitkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab dengan niat memecah dan mengganggu kerajaan PH dengan menggunakan politik perkauman dan ekstremisme. - Bernama

Artikel Berkaitan: