Gadai barangan kemas untuk berniaga, baiki kereta terjejas banjir

Kedai milik Masripah di Kampung Padang Jawa di sini yang ditenggalami banjir pada Disember lalu. (Gambar kecil: Masripah)
Kedai milik Masripah di Kampung Padang Jawa di sini yang ditenggalami banjir pada Disember lalu. (Gambar kecil: Masripah)
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang peniaga di Kampung Padang Jawa di sini terpaksa menggadai barangan kemasnya untuk memulakan semula perniagaan dan membayar kos pembaikan kereta yang terjejas akibat banjir pada Disember lalu.

Masripah Ibrahim, 56, mendakwa terpaksa berbuat demikian selepas masih belum menerima sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan dan negeri selepas permohonan dibuat pada bulan sama.

Menurutnya, premis yang baru dibuka sejak dua tahun lalu bersama produk-produk dari indusri kecil dan sederhana (IKS) turut terjejas akibat banjir dan menelan kerugian sebanyak RM8,000.

Katanya, jumlah tersebut tidak termasuk kerosakan kereta dan rumahnya yang terjejas kibat banjir dengan anggaran kerugian sekitar RM23,000.

“Saya terpaksa gadai barangan kemas untuk dijadikan modal perniagaan kerana masih belum dapat bantuan banjir.

“Tapi kami teruskan kehidupan kerana kerajaan dah janjikan perkara tersebut (bantuan banjir). Kita pun tidak tahu cara pengurusan pihak berkaitan kerana banjir telah berlaku dua bulan lalu.

“Kalau bantuan dipercepatkan, sekurang-kurangnya duit tersebut boleh digunakan sebagai modal perniagaan walaupun tidak banyak,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Peniaga lain, Puteri Nazatul Sazwani Kamarulzaman, 27, dan ibunya yang masing-masing mengusahakan perniagaan pelamin dan pakaian wanita pela mengalami kerugian lebih RM30,000 akibat banjir yang melanda pada Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Namun dia terkilan apabila ada pihak yang menghantar permohonan ke Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang memaklumkan kepadanya bahawa hanya mangsa-mangsa banjir yang terpilih layak menerima bantuan kewangan tersebut.

“Kalau boleh semua nak dapat bantuan sebab kerajaan dah janji. Jadi kita pun berharap,” katanya yang telah mengusahakan perniagaan pelamin sejak tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, seorang peniaga yang ingin dikenali sebagai Yan terpaksa menanggung kos kerugian rumah dan kenderaan lebih daripada RM10,000 akibat banjit yang berlaku di sini.

Dia yang berniaga di U2 TTDI Jaya di sini, selama tujuh tahun masih belum mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan dan negeri walaupun permohonan telah dihantar kepada PDT Klang pada 20 Disember lalu.

“Saya tidak boleh berniaga selama dua minggu kerana barangan niaga di rumah rosak akibat banjir.

“Selain itu, saya juga terpaksa menggunakan wang simpanan untuk membayar kos membaiki kereta dan pembelian barangan keperluan harian,” katanya yang tinggal di sini sejak 30 tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada PDT Klang berkenaan isu kelewatan agihan bantuan banjir kepada mangsa yang terjejas akibat bencana tersebut.