Op Selamat Tahun Baharu Cina: Polis Kelantan keluar 222 saman

Shuhaimi turun padang meninjau Op Selamat 17/2022 Tahun Baharu Cina di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.
Shuhaimi turun padang meninjau Op Selamat 17/2022 Tahun Baharu Cina di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantang mengeluarkan 222 saman kepada pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan trafik menerusi Op Selamat 17/2022 Tahun Baharu Cina di beberapa lokasi di negeri ini pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, daripada jumlah tersebut, kesalahan melibatkan nombor plat merekodkan jumlah paling tinggi iaitu sebanyak 77 saman.

"Ia diikuti kesalahan lesen kenderaan motor dan insurans tamat tempoh (57), tiada lesen memandu (51), ubah suai ekzos (11) serta kesalahan-kesalahan lain," katanya selepas turun padang meninjau Op Khas Sempena Op Selamat 17/2022 Tahun Baharu Cina di Jambatan Sultan Yahya Petra di sini pada Isnin.

Beliau berkata, operasi yang bermula jam 9 malam hingga 4 pagi Selasa itu melibatkan 15 pegawai dan 84 anggota.

Menurutnya, sepanjang operasi itu, sebanyak 327 kenderaan merangkumi kereta, kenderaan pelbagai guna (MPV), pacuan empat roda, motosikal, van dan lori diperiksa.

Katanya, empat buah motosikal yang menyalahi undang-undang turut disita.

"Ujian alkohol juga dilakukan bagi mengesan pemandu mabuk.

"Seramai 35 pemandu diperiksa dan hasilnya mendapati semuanya negatif dan bebas pengaruh alkohol," katanya.

Artikel Berkaitan: