Polis gempur sarang judi dalam talian

Antara suspek diberkas dalam serbuan dijalankan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, pada Isnin.
Antara suspek diberkas dalam serbuan dijalankan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua buah premis masing-masing di Klang serta Setapak Jaya, Kuala Lumpur diserbu oleh Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada Isnin kerana disyaki menjadi sarang aktiviti judi dalam talian.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, serbuan pertama melibatkan sebuah rumah kedai di Jalan Batu Tiga Lama, Klang dan seramai 14 individu terdiri daripada warga tempatan serta warga asing diberkas.

"Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 6.45 petang itu berjaya memberkas seramai 11 lelaki warga tempatan, dua perempuan tempatan dan seorang perempuan warga asing berumur dalam lingkungan dari 21 tahun hingga 50 tahun.

"Polis merampas satu unit komputer riba kawalan utama, 13 unit komputer riba, satu unit modem dan wang tunai RM1,598," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, serbuan kedua melibatkan sebuah premis di Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

"Seramai tiga lelaki warga tempatan berumur lingkungan 21 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 10.45 malam itu.

"Polis merampas empat unit komputer riba, dua unit tablet, satu unit telefon bimbit, satu unit router, satu unit modem dan wang tunai RM205," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel Berkaitan: