‘Lesen terbang’ ada kaitan dengan sindiket 'scammer'

Zailani (dua dari kiri) dan Shafien (kiri) memberi penerangan mengenai keselamatan jalan raya kepada penumpang bas ekspres di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu pada Isnin.
Zailani (dua dari kiri) dan Shafien (kiri) memberi penerangan mengenai keselamatan jalan raya kepada penumpang bas ekspres di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendakwa kegiatan penjualan lesen terbang ada kaitan dengan sindiket 'scammer' (penipuan) yang dilakukan secara dalam talian.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya kini sedang menyiasat perkara itu untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“JPJ sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu lesen terbang.

“Kami membuat pemantauan untuk mengambil tindakan ke atas mereka, ini semua 'scammer',” katanya ketika sidang akhbar selepas Operasi Bersepadu Sempena Tahun Baharu Cina di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Nik Azhan Ab Hadi.

Mengulas lanjut, katanya, bagi mengukuhkan lagi dakwaan itu, pihak JPJ turut melakukan penyamaran bagi mengesan pembabitan sindiket 'scammer' dalam kegiatan lesen terbang.

“Kami menyamar dan masuk dalam sindiket berkenaan, kami bayar tetapi duit kami sendiri pun hilang.

“Kami membuat semakan dengan Cyber Security Malaysia (CSM) untuk melihat domain bagi mengesan pelokasi sumber seragam (URL) yang digunakan 'scammer' dan itu penyelesaian terakhir kita patut buat jika melibatkan penipuan dalam talian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan tidak ada individu di negara ini boleh mendapat lesen terbang melalui bayaran kepada mana-mana pihak yang tertentu.

“Setakat ini tahun ini, tiada ada kes lesen terbang membabitkan 'scammer' diambil tindakan.

“Saya sendiri ingin tegaskan, kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota JPJ sekiranya terlibat dengan kegiatan tidak berintegriti ini,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan JPJ akan menjalankan siasatan bersama SPRM berhubung dakwaan ada pegawainya terbabit kegiatan menjual lesen terbang.

JPJ memandang serius dakwaan yang dibuat oleh seorang pempengaruh media sosial menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial.