Tiada pegangan agama, nilai kemanusiaan

Syahbuddin (tengah) dan Amirullah (kiri) bersama 60 peserta program MAYC Kawasan Marang di Pulau Kapas.
Syahbuddin (tengah) dan Amirullah (kiri) bersama 60 peserta program MAYC Kawasan Marang di Pulau Kapas.
A
A
A

MARANG - Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Terengganu menyifatkan pengganas melakukan serangan tembakan di masjid New Zealand adalah individu tanpa pegangan agama dan nilai kemanusiaan.

Pengerusinya, Amirullah Othman, kesal ekoran kejadian berlaku Jumaat lalu, mahu belia Islam di negeri ini terus mendalami al-Quran dan mengamalkan as-Sunnah untuk pegangan agama yang mantap

“Jika semua mempunyai pegangan agama yang kukuh, tidak mungkin kejadian seperti itu berlaku sehingga menyebabkan mereka yang tidak bersalah dan tidak berdosa menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berakhirnya Kem Kepimpinan MAYC Kawasan Marang di Pulau Kapas, hari ini.

Terdahulu, program itu dirasmikan Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd Syahbuddin Hashim.

Dalam kejadian Jumaat lalu, kira-kira 49 jemaah maut termasuk kanak-kanak dan lebih 40 lagi cedera dalam serangan ketika solat Jumaat di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood, New Zealand.

Amirullah berkata, ajaran agama bukan sahaja dapat membawa kebahagiaan malah menghindarkan serta membendung umat Islam daripada melakukan keganasan dan kegiatan jenayah.

“Tidak guna melahirkan modal insan sehingga menjadi golongan profesional tetapi tidak menjamin kebahagiaan ekoran mereka tidak memiliki pegangan agama dan nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terengganu mempunyai 105 kelab belia MAYC dengan jumlah sehingga 250 ahli setiap kelab iaitu jumlah teramai berbanding negeri-negeri lain di seluruh negara.