'Saya nak kejar masa'

Op Selamat ke-17 Tahun Baharu Cina yang diadakan di Lebuhraya Persekutuan berhampiran tapak Plaza Tol Sungai Rasau pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Op Selamat ke-17 Tahun Baharu Cina yang diadakan di Lebuhraya Persekutuan berhampiran tapak Plaza Tol Sungai Rasau pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - "Saya nak kejar masa sebab itu guna laluan kereta." Itu antara alasan diberikan penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Selamat Tahun Baharu Cina 2022 di Sungai Rasau, Lebuhraya Persekutuan di sini petang Isnin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, segelintir mereka turut memberi alasan tidak tahu saman dikenakan sekiranya menggunakan laluan selain motosikal dan ia merupakan antara kesalahan yang banyak diambil tindakan.

Menurutnya, tindakan menggunakan laluan tidak sepatutnya bukan sahaja membahayakan nyawa penunggang itu sendiri, malah pengguna jalan raya lain.

"Sebanyak 250 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal ini yang mana didapati melanggar peraturan jalan raya ditetapkan," katanya pada sidang media di Sungai Rasau, Lebuhraya Persekutuan di sini pada Isnin.

Katanya, kegagalan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan akan mengakibatkan risiko berlakunya kemalangan.

"Kebanyakan kes kemalangan yang kita terima berpunca akibat tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Mengulas lanjut, Op Selamat yang dijalankan itu memberikan tumpuan berkaitan keselamatan pengguna selain bagi memastikan kelancaran di jalan raya.

Jelasnya ia turut menumpukan kepada tindakan pencegahan jenayah dengan meningkatkan rondaan di kawasan-kawasan perumahan bagi menentukan keselamatan rumah bagi penghuni yang pulang bercuti.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes pecah rumah sepanjang tempoh ini khususnya yang memaklumkan kepada pihak polis berkaitan ketiadaan mereka di rumah, belum ada rumah yang dilaporkan dipecah masuk," katanya.