Kunjungan Duta Besar Jerman ke UMP perkukuh kerjasama akademik

PEKAN - Kunjungan Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama akademik antara universiti itu dan institusi pendidikan Jerman.
Jalinan kerjasama dua hala bagi mengembangkan model pendidikan kejuruteraan Jerman (Fachhochschule) dalam sistem pendidikan teknikal negara itu telah terjalin sejak 12 tahun lalu.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Profesor Ts Dr Mohd Rosli Hainin berkata, UMP dan institusi Jerman iaitu Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) Jerman telah memeterai kerjasama erat sejak 27 Mei 2010 melalui pengambilan pertama program dual ijazah Kejuruteraan Mekatronik (UMP-HKA).
Menurutnya, kerjasama dengan negara Eropah itu terjalin menerusi rundingan UMP dengan Perkhidmatan Pertukaran Akademik Jerman (DAAD).