Sila log masuk terlebih dahulu.

Pencapaian terhebat Nadal

Nadal mendakap erat trofi Terbuka Australia yang dimenanginya - Foto EPA
Nadal mendakap erat trofi Terbuka Australia yang dimenanginya - Foto EPA
A
A
A

BINTANG tenis Sepanyol, Rafael Nadal menyifatkan kejayaannya muncul juara Terbuka Australia yang sekali gus mencipta rekod Grand Slam ke-21nya pada Ahad sebagai pencapaian terhebat dalam kariernya sebagai pemain tenis profesional.

Malah menurut pemain ranking ketujuh dunia itu, dia sama sekali tidak menyangka mampu melakukannya pada usia 35 tahun ketika ramai rakan-rakan seusianya sudah pun ‘menggantung raket.’

“Bagi saya kemenangan ini adalah kemenangan yang paling bermakna dalam karier saya kerana ia memang sukar untuk dijangka dan pastinya ia mengejutkan ramai pihak, bukan?

“Malam ini (Sabtu), adalah malam yang penuh emosi bagi saya dan secara jujurnya saya memang kepenatan hingga tidak boleh untuk berfikir, apatah lagi untuk mengingati detik-detik perlawanan itu.

“Apa pun, saya memang tidak peduli samada saya dilihat selaku antara pemain terbaik atau tidak dalam sejarah sukan tenis kerana yang penting bagi saya adalah untuk memenangi Terbuka Australia buat kali kedua,” katanya.

Pada aksi final di Rod Laver Arena pada Ahad, Nadal bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan pemain ranking kedua dunia, Daniil Medvedev 2-6, 6-7 (5), 6-4, 6-4, 7-5.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Nadal melakar sejarah tersendiri apabila muncul pemain pertama meraih gelaran Grand Slam ke-21 setelah terikat dengan 20 gelaran Grand Slam sebelum ini dengan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dan Roger Federer.

Sementara itu menerusi laman sosial, Federer mengucapkan tahniah kepada Nadal atas kemenangan berkenaan dan sekali gus muncul pemain pertama yang meraih gelaran Grand Slam ke-21.

Artikel Berkaitan:

Menurut Federer, kejayaan itu akan menjadi inspirasi buatnya untuk terus berjuang dan melakukan yang terbaik dalam sukan tenis.

“Satu perlawanan yang hebat, kepada sahabat yang juga ‘musuh’ terhebat saya, sekalung tahniah daripada saya kerana menjadi pemain pertama yang memenangi 21 gelaran Grand Slam.

“Beberapa bulan lalu, kita pernah bergurau mengenai perkara ini dan kini ia menjadi realiti. Oleh itu, jangan sesekali memandang rendah keupayaan seorang ‘juara.’

“Segala kerja keras, dedikasi serta semangat melawan Nadal bakal menjadi inspirasi kepada saya untuk kembali bangkit pada masa hadapan,” katanya.